mutakhir

RMK-11: RM3.87b untuk Sabah

Oleh Fardy Bungga

PERUNTUKAN sebanyak RM3.87 bilion kepada Sabah menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) membolehkan pelbagai projek pembangunan dilaksana, sekali gus beri manfaat kepada seluruh rakyat.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman berkata, kerajaan negeri menghargai dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana memberikan peruntukan besar kepada Sabah menerusi RMK-11.

Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, selaras pertumbuhan ekonomi yang dicapai ketika ini, membuktikan negara berada di landasan yang betul dalam memacu kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

“Antara peruntukan yang paling signifikan untuk Sabah ialah RM250 juta kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi mempertingkat dan mengukuhkan kawalan keselamatan di sempadan (pantai timur Sabah).

“Selain itu, Sabah diberikan peruntukan RM1 bilion untuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, RM1 bilion bagi projek membaik pulih sekolah daif, selain projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) yang pertama, tahun ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Pegawai Kemajuan negeri, Datuk Ruji Ubi di Pusat Pentadbiran negeri, di Kota Kinabalu, hari ini.

Musa berkata, menerusi RMK-11, kerajaan negeri juga menerima peruntukan RM253 juta untuk pembinaan bangunan tambahan Hospital Tawau dan RM35.19 juta bagi program khas Anak Negeri Sabah seperti pengukuran tanah adat (NCR).

Katanya, peruntukan itu juga termasuk pembinaan Mahkamah Anak Negeri di Kunak, Ranau dan Tambunan selain program pembangunan modal insan di negeri ini.

Untuk itu, beliau menegaskan komitmen dan kerjasama tinggi semua pihak penting khususnya antara pemimpin, jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan membolehkan semua perancangan dilaksanakan mengikut jadual.

“Jadi amat penting untuk semua penjawat awam negeri dan Persekutuan supaya bersedia memberi perkhidmatan terbaik kerana apa yang dilakukan ini adalah untuk rakyat,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 4:12pm
d