mutakhir

Anak menangis dijadi alasan

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

SUAMI isteri menggunakan anak yang menangis ketakutan sebagai alasan dalam usaha melepaskan diri daripada sekatan jalan raya di Jalan Lumut-Manjung, berhampiran Kampung Pundut di Seri Manjung, malam tadi.

Bagaimanapun, taktik pasangan muda dari Teluk Intan itu bagi meraih simpati Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Manjung tidak berhasil apabila mereka ditahan pada 9.30 malam.

Pegawai AADK Manjung, Sharudin Abdul Salam, berkata, suami isteri berusia 24 dan 23 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka bersama anak perempuan berusia 20 bulan selepas berkelah di pantai Teluk Batik.

Menurutnya, AADK mendapati pasangan berkenaan yang menaiki kereta berada dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

"Hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati wanita itu positif methamphetamine atau syabu dan amphetamine manakala suaminya positif methamphetamine.

"Mereka mendakwa baru tiga bulan terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan memberi alasan bahan terlarang itu diberikan rakannya serta tidak mengetahui ia adalah dadah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sharudin berkata, dalam operasi bersepadu itu pihaknya turut menahan lima lelaki berusia 21 hingga 43 tahun membabitkan pemandu kenderaan dan penunggang motosikal yang didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.

Katanya, operasi berkenaan sempena Ops Tahun Baharu Cina yang bermula pada 8 hingga 12 tengah malam turut disertai oleh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 10:32pm
d