mutakhir

Terbaik Konstabel Fahmi

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

KONSTABEL dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin berhati mulia apabila memulangkan dompet mengandungi RM1,800 yang tercicir berhampiran stesen minyak kepada lelaki di Pulau Sebang, dekat Tampin, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, dalam kejadian 12.45 tengah hari itu, Konstabel Mohd Fahmi Abd Kadir selesai mengisi petrol kenderaannya ketika dalam perjalanan pulang ke Tampin.

Katanya, sebaik melalui lokasi, Mohd Fahmi ternampak dompet di tepi jalan yang berhampiran pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pulau Sebang lalu mengambilnya.

"Sebaik memeriksanya, anggota terbabit mendapati ia mengandungi wang tunai berjumlah RM1,800.

"Berdasarkan alamat pada kad pengenalan di dalam dompet itu, Mohd Fahmi meminta bantuan rakan sejawat berdekatan untuk mencari pemiliknya dengan bertanyakan penduduk setempat," katanya di Tampin, malam ini.

Hamazah berkata, lebih dua jam mencari, anggotanya berjaya menemui pemiliknya yang bernama Chong Sik Kim, 61, beralamat di Taman Bukit Melaka, Bukit Beruang dan memulangkan dompet itu.

"Selepas dompet dan wang diserahkan, pemilik menzahirkan rasa terharu dan memuji kejujuran anggota polis terbabit," katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 11:06pm
d