mutakhir

Hospital teknologi BIM

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Parit Buntar: Hospital Parit Buntar akan menjadi hospital pertama di negara ini dibina menggunakan sistem Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) berasaskan reka bentuk imej tiga dimensi (3D).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pembangunan hospital menelan kos RM136.7 juta itu membabitkan teknologi pembinaan terkini menggantikan AutoCAD.

“Ini bukti pihak kerajaan komited menunaikan janji kepada rakyat dan bukan janji kosong seperti didakwa pembangkang.

“Pembinaan hospital pertama dengan teknologi BIM di Malaysia ini dilaksanakan mengikut perancangan dan spesifikasi ditetapkan. Projek ini perlu mengambil masa bagi memenuhi beberapa kriteria sebelum pembinaan infrastruktur dimulakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan hospital itu, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Ir Dr Roslan Md Taha.

Fadillah berkata, kelewatan pembinaan fasa ketiga projek mega itu tidak sepatutnya dipolitikkan pembangkang kerana Kerajaan Pusat sudah melantik kontraktor bagi melaksanakannya pada bulan lalu.

Beliau berkata, pembinaan hospital itu akan siap sepenuhnya menjelang penghujung Disember 2020.

Katanya, kerja pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan ketika ini hanya meliputi keluasan 25 peratus daripada keseluruhan tapak hospital seluas 22.4 hektar.

“Hospital ini akan memanfaatkan 200,000 penduduk daerah Kerian dengan dilengkapi kemudahan tambahan seperti bilik bedah, bilik X-ray, unit rawatan rapi (ICU), bilik rawatan pesakit luar dan hemodialisis.

“Segala perancangan membina hospital ini akan diteruskan mengikut jadual, ketetapan harga dan standard spesifikasi diluluskan dalam kontrak.

“Insya-Allah, saya sendiri akan memantau secara dekat pembinaan hospital ini dan sama-sama kita berdoa semoga ia dipermudahkan,” katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2018 @ 4:46am
d