mutakhir

Senang sapu RM13j

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Menawarkan lantikan sebagai kontraktor kepada syarikat atau mangsa yang berminat untuk membina rumah mampu milik di seluruh negara.

Itu taktik licik seorang lelaki bergelar Datuk yang memperdaya mangsa dengan menawarkan projek pembinaan rumah mampu milik tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian lebih RM13 juta.

Bagaimanapun, helah lelaki berusia 52 tahun yang juga pengerusi dan ketua pegawai eksekutif (CEO) di dua koperasi berpusat di Subang Jaya, Selangor, terbongkar apabila dia ditahan di premis berkenaan pada 7 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, lelaki itu ditahan selepas pihaknya menerima 16 laporan membabitkan kedua-dua koperasi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga tahun lalu daripada mangsa.

Katanya, polis menjalankan siasatan terhadap lelaki berkenaan yang didakwa menjalankan kegiatan penipuan dengan menawarkan projek pembinaan rumah mampu milik tidak wujud di seluruh negara kepada mereka yang berminat.

“Berdasarkan laporan dibuat, polis membuka 11 kertas siasatan berhubung kes itu sebelum suspek berjaya ditahan pada 7 Februari lalu.

“Dia kini masih dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut dan polis tidak menolak kemungkinan beberapa individu lain akan turut ditahan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Amar berkata, siasatan pihaknya mendapati bagi meyakinkan mangsa, suspek akan membawa mereka melawat lokasi atau tapak pembinaan yang sudah dikenal pasti selain mengemukakan beberapa dokumen untuk menunjukkan projek itu wujud serta mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Mangsa yang terpedaya kemudian membayar wang bon pelaksanaan antara RM300,000 hingga RM2.3 juta atas nama koperasi berkenaan atas arahan suspek.

“Selepas bayaran dijelaskan, mangsa akan menandatangani perjanjian usaha sama disediakan koperasi itu dan dijanjikan kerja pembinaan akan bermula dalam tempoh 18 bulan selepas perjanjian ditandatangani,” katanya.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun tidak mendapat arahan untuk memulakan kerja selepas tempoh 18 bulan itu berlalu.

“Selepas semakan dibuat, mangsa mendapati projek dijanjikan itu tidak wujud dan tidak pernah diberikan kepada koperasi berkenaan.

“Suspek mendakwa dilantik sebagai ejen kepada kedua-dua koperasi berkenaan untuk mendapatkan kontraktor berminat bagi projek perumahan mampu milik di seluruh negara.

“Bagi koperasi pertama, suspek menawarkan projek pembinaan di beberapa negeri iaitu Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Johor, manakala bagi koperasi kedua pula, projek ditawarkan di Melaka, Kedah dan Perak,” katanya.

Menurutnya, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu selepas siasatan dilengkapkan.

Disiarkan pada: February 21, 2018 @ 4:52am
d