mutakhir

Syor audit keselamatan bangunan setiap 10 tahun [METROTV]

Oleh HM Digital

Putrajaya: Pemilik bangunan dinasihatkan supaya melakukan audit keselamatan di bangunan masing-masing bagi memastikan premis mereka mematuhi aspek keselamatan yang dibenarkan.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, pihaknya mengesyorkan setiap bangunan itu diaudit setiap 10 tahun memandangkan ia juga satu amalan baik yang diguna pakai di seluruh dunia.

Beliau berkata, pemilik bangunan boleh melantik badan bebas termasuk perunding keselamatan bagi melakukan audit keselamatan berkenaan.

“Badan bebas berkenaan akan mengeluarkan syor kepada JBPM sama ada bangunan itu selamat diduduki atau sebaliknya,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan prapelancaran Persidangan dan Pameran Kebombaan Antarabangsa 2018 (IFCEM 2018), di sini, semalam.

Menurutnya, audit keselamatan penting bagi memastikan aspek keselamatan kebakaran tidak terabai.

Ketika ditanya sama ada JPBM akan mengikut peredaran semasa aspek keselamatan ketika menyerahkan Sijil Kelayakan Menduduki Bangunan (CFO) atau Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) kepada setiap premis atau bangunan, Wan Mohd Nor berkata, pihaknya sentiasa mematuhi standard antarabangsa dalam menganugerahkan CFO dan CCC.

“Setiap bangunan memiliki CFO dan CCC yang standard. Malaysia sering dikunjungi pelancong asing dan profesional antarabangsa, malah kebanyakan mereka menginap di hotel.

“Kalau bangunan kita tidak mencapai standard antarabangsa yang dibenarkan, mereka tidak akan menginap di bangunan kita,” katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2018 @ 4:59am
d