mutakhir

Tiga jam sia-sia

Oleh Hadzlihady Hassan

Balik Pulau: Hampir tiga jam operasi mencari dan menyelamat terpaksa dilakukan sepasukan anggota bomba selepas mendapat maklumat mengatakan dua mangsa tercampak keluar dari kereta yang terjunam dalam gaung di Jalan Teluk Bahang di sini, malam semalam.

Namun operasi itu terpaksa dihentikan selepas polis mengesahkan hanya seorang mangsa iaitu pemandu kereta berusia 28 tahun terbabit dalam kemalangan itu.

Difahamkan, ketika diselamatkan, mangsa yang juga pemandu kereta terbabit dalam keadaan panik memberitahu anggota bomba ada dua lagi penumpang tercampak keluar daripada kenderaannya.

Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.01 malam dan tiba di lokasi 30 minit kemudian.

“Kereta dipandu mangsa terjunam dalam gaung kira-kira 30 meter dan kita berjaya menyelamatkannya sebelum diserahkan kepada anggota perubatan. Ketika itu, mangsa yang mungkin dalam keadaan panik memberitahu ada dua lagi penumpang dalam keretanya dan mereka dikatakan tercampak keluar,” katanya.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat dilakukan, namun selepas hampir tiga jam pihaknya gagal menemui dua lagi mangsa yang didakwa tercampak keluar.

“Kita kemudian memperoleh maklumat daripada polis yang memberitahu hanya seorang mangsa terbabit dalam kemalangan itu.

“Mangsa yang juga pemandu kereta terbabit yang dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk mendapatkan rawatan kemudian memberitahu polis hanya dia seorang berada dalam kereta itu,” katanya.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat dihentikan sepenuhnya jam 10.56 malam.

Disiarkan pada: February 21, 2018 @ 5:26am
d