mutakhir

Kes Daish pindah ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

Oleh Muhamaad Razis Ismail

MAHKAMAH Sesyen Kota Bharu, hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes tiga rakan yang terbabit dengan aktiviti pengganas Daish ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin membuat keputusan itu terhadap tertuduh Mohd Hafizi Mat Jusoh, 19, Ahmad Azmi Ahmad Rosli, 24, dan Mahadi Ibrahim, 34, selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes memiliki bom membabitkan Mohd Hafizi dikekalkan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.

Sebelum ini, Mohd Hafizi membuat pengakuan bersalah pada 5 November tahun lalu sebelum menukar pengakuan kepada tidak bersalah pada 6 Disember lalu selepas melantik dua peguam Ariff Azami Hussein dan Rithauddeen Aziz.

Mengikut pertuduhan, pelajar itu didakwa memiliki dua butir bom 'improvised explosive device (IED)' di rumah di Kampung Merkang, Pasir Puteh pada 6.05 petang, 10 Oktober 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara hingga 14 tahun dan minimum enam sebat.

Mahkamah menetapkan 29 Mac ini untuk sebutan semula kes itu.

Bagi empat pertuduhan membabitkan Daish, remaja itu didakwa memiliki gambar, video dan dokumen, memaparkan bahan berkaitan kumpulan pengganas, memberi latihan menerusi WhatsApp dan hadir di tempat latihan pengganas Daish.

Kesalahan itu didakwa masing-masing mengikut Seksyen Seksyen 130JB(1)(a), Seksyen 130JB(1)(b), 130F(a) dan Seksyen 130FB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ahmad Azmi dan Mahadi yang masing-masing berdepan tiga serta dua pertuduhan berasingan berkaitan kumpulan pengganas Daish.

Disiarkan pada: February 21, 2018 @ 1:07pm
d