mutakhir

'Kesian' dapat RM50 je... [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEKUMPULAN penjenayah berputih mata apabila wang yang disamun daripada peti wang di restoran di Taman Gombak Permai, Gombak, jatuh bertaburan menyebabkan mereka hanya dapat melarikan wang tunai RM50, Ahad lalu.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, empat lelaki yang bersenjatakan parang melarikan peti wang di restoran berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, empat lelaki terbabit yang menaiki motosikal dan bersenjatakan parang dilihat memberhentikan kenderaan di hadapan premis berkenaan.

"Dua daripada mereka kemudian memasuki restoran berkenaan dan terus mengambil peti wang itu sebelum melarikan diri.

"Siasatan mendapati suspek hanya berjaya melarikan wang tunai sebanyak RM50," katanya.

Tindakan mereka menyamun restoran berkenaan turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit yang tular di media sosial sejak semalam.

Ali berkata, kumpulan penjenayah ini dipercayai turut terbabit dengan satu lagi kejadian samun di Selayang, di sini, pada hari yang sama.

"Kami menerima dua laporan polis berhubung kejadian samun pada hari berkenaan yang dipercayai didalangi oleh kumpulan sama berdasarkan jumlah suspek yang terbabit serta modus operandi digunakan.

"Usaha memburu semua suspek berkenaan sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2018 @ 3:18pm
d