mutakhir

[UPDATE] Tikam 12 kali pinangan ditolak

Oleh Norasikin Daineh

TIDAK berpuas hati kerana lamaran ditolak dipercayai punca seorang lelaki menikam bapa saudaranya hingga mati dalam kejadian di depan kedai runcit di Kampung Sembulan Lama, Kota Kinabalu, petang semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, suspek lelaki berusia 30 tahun menikam bapa saudaranya, Abdul Razi Bahadum, 56, dengan 12 tikaman menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Sumber memberitahu, suspek dikatakan meminang anak perempuan mangsa berusia 24 tahun pada pertengahan tahun lalu dan disebabkan dia tidak mempunyai kerja tetap, keluarga mangsa menolak lamarannya itu.

"Pada 1 tengah hari semalam, suspek pergi ke tempat kerja anak mangsa di Kompleks Karamunsing dan memaksa mengikutnya untuk membincangkan hal pertunangan, namun gadis terbabit tidak melayan permintaan suspek kerana risau dengan keselamatannya.

“Selepaas itu dalam kejadian di depan kedai runcit di kampung itu petang semalam, suspek dikatakan menumbuk mangsa sebelum menikamnya beberapa kali dengan pisau.

"Mangsa rebah sebelum pemilik kedai runcit yang menyaksikan kejadian menghubungi polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra menerusi kenyataan di Facebook Polis Kota Kinabalu, berkata suspek menyerah diri di Balai Polis Karamunsing bersama sebilah pisau yang digunakan untuk menikam mangsa.

"Polis percaya punca kejadian adalah kerana dendam, namun siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti motif sebenar kejadian dan tidak menolak kemungkinan suspek mengalami gangguan emosi.

"Semakan mendapati suspek pernah ditangkap dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengambil dadah dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh," katanya.

Berita berkaitan

Maut ditikam anak saudara [METROTV]

Disiarkan pada: February 21, 2018 @ 3:35pm
d