mutakhir

Rafflesia juga ditemui tergantung

Oleh Nazdy Harun

“KEBIASAANNYA bunga pakma tumbuh di atas tanah kerana sifatnya yang besar, namun spesis yang ditemui di Bukit Batu Kapal (BBK), Kuala Berang agak berlainan kerana tumbuh di akarnya pada ketinggian tiga meter."

Begitu kata Muhamad Zamrul Mohamad, 34, salah seorang ahli Terengganu Backpackers (TBP) yang menemui bunga berkenaan pada kedudukan 450 meter dari paras laut.

Lebih menarik, ada kedudukan bunga yang ditemui tergantung pada akar yang menjalar setinggi tiga meter, selain ada yang tumbuh di atas tanah.

Muhamad Zamrul berkata, spesis bunga pakma yang dikenal pasti sebagai ‘Rafflesia Cantleyi’ mempamerkan kelopak selebar 0.4 meter dan berada di kawasan lembah yang landai di kawasan tengah bukit berkenaan.

"Bunga itu saya dan rakan lain temui ketika kami sedang membuat laluan baru bagi membolehkan pendaki turun dari puncak bukit terus ke BBK dan bukannya jalan seperti sebelum ini iaitu melalui ladang kelapa sawit.

"Ketika berada pada ketinggian 450 meter dari paras laut, kami melihat sekuntum bunga pakma berada di atas tanah dan ketika itu kelopak bunga berkenaan sudah kembang manakala satu lagi berada pada akar dengan ketinggian tiga meter," katanya.

Menurutnya, di kawasan itu kelihatan banyak akar-akar yang ditumbuhi oleh bunga pakma yang juga spesis parasit, dan mungkin lebih banyak bunga itu akan kembang di kawasan berkenaan, tidak lama lagi.

Katanya, sebelum ini dia pernah menemui bunga pakma di atas Gunung Lat, Kampung Kemat, Kuala Berang pada ketinggian 500 hingga 600 meter dari paras laut dan pernah mencarinya di kawasan Tasik Kenyir, namun gagal.

"Amat sukar untuk menemui bunga pakma kerana ia tumbuh di kawasan tinggi dan hanya kembang dalam masa tujuh hari saja,” katanya

Disiarkan pada: February 21, 2018 @ 3:45pm
d