mutakhir

Sempat pintas kontena hala Singapura

Oleh Iskandar Shah Mohamed

KEGIATAN sindiket curi, lerai dan menjual komponen lori ke luar negara mencecah jutaan ringgit dikenali 'Botak Siva' lumpuh dengan tertangkapnya lima lelaki termasuk seorang warga Mesir.

Difahamkan, sindiket yang aktif sejak 2015 itu menyasarkan lori Isuzu, Scania dan Hino untuk dicuri dengan menggunakan alat 'jammer' yang berfungsi mengganggu frekuensi alat kawalan jauh kenderaan berat berkenaan.

Komponen seperti ekzos, stereng, papan pemuka dan tangki minyak dibawa ke luar negara seperti Mesir serta Pakistan menerusi kontena, malah harga enjin lori itu mencecah sehingga RM20,000 setiap satu,

Perbuatan sindiket itu bagaimanapun dibongkar polis Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan yang menahan lima suspek termasuk dalang sindiket berusia 33 hingga 44 tahun serta seorang lelaki warga Mesir berusia 30-an yang dipercayai orang tengah bagi urusan jual beli komponen lori itu.

Ia membawa kepada penemuan sebuah kontena mengandungi ratusan komponen lori dilerai dianggarkan RM2 juta yang ditahan dan dirampas dengan bantuan polis Singapura.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, siasatan awal pihaknya mendapati sindiket itu bergiat aktif di sekitar Lembah Klang selain utara dan selatan tanah air.

"Bertindak atas risikan dan maklumat, kita menahan dua lelaki termasuk seorang warga Bangladesh yang sedang meleraikan komponen lori di sebuah gudang di Taman Johan Setia, Klang, pada 11 pagi 23 Januari lalu.

"Ia kemudian membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki termasuk warga Mesir masing-masing di sekitar Kuala Lumpur, Bukit Tinggi dan Port Dickson, Negeri Sembilan pada 24 Januari serta 13 Februari lalu," katanya pada sidang media di Westport di Pelabuhan Klang, hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya berjaya mengesan satu kontena berkaitan sindiket itu yang sudah berlayar menuju ke Pelabuhan Singapura.

"Hasil kerjasama polis Singapura dan Interpol, kontena itu ditahan dan tiba di negara ini pada 2 Februari lalu.

"Pemeriksaan mendapati kontena itu mengandungi 13 enjin lori Isuzu, 14 papan pemuka, 49 penyerap hentakan, 22 pintu, 14 stereng dan pelbagai komponen lori lain," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket itu mengaku sudah empat kali mengeksport komponen haram itu pada tahun lalu yang dianggarkan bernilai RM12 juta.

"Namun, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan kerana memiliki barang curi dan semua suspek masih direman.

"Selain itu, kami sedang mengesan tujuh individu bagi membantu siasatan. Mereka ialah R Rajandran, 44; P Sarawanan, 31; N Ganesan, 36; S Sivvaneswaran, 44; S Kalai Selvam, 38; M Kannan, 35, dan S Vigneswaran, 46," katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2018 @ 5:07pm
d