mutakhir

Penat tapi puas hati

Oleh Mazizul Dani

PENJELAJAHAN menelusuri pelusuk kampung dengan menunggang motosikal, sambil angin menerpa muka tatkala melalui kawasan pantai cukup menenangkan jiwa.

Walaupun perjalanan yang ditempuh sangat memenatkan, namun landskap indah kawasan perkampungan yang tersaji sangat berbaloi untuk dinikmati.

Itu yang dirasai 32 penunggang daripada F800GS Malaysia Community (F8MC) yang melakukan penjelajahan empat hari tiga malam dengan melalui jalan persekutuan dan jalan persisiran pantai bermula pada 15 Februari lalu.

Menurut ketua program yang dipanggil F800GS Jelajah 1Malaysia, Mohd Shahrazlee Jamaludin, 35, penjelajahan dengan menunggang motosikal lebih memenatkan berbanding dengan kereta, tetapi cukup menguji mental dan fizikal.

"Memang terasa penat tetapi cukup memuaskan hati kerana kami dapat menjelajah satu Malaysia dan dapat mengenal budaya setiap negeri.

"Program ini juga sebenarnya adalah satu daripada cara untuk membantu perniagaan orang-orang kampung, selain melawat tempat-tempat sejarah dan berkhemah di tempat-tempat menarik dalam Malaysia," katanya

F8MC adalah komuniti yang menghimpunkan pemilik motosikal berkuasa tinggi model BMW F800GS seluruh Malaysia dan peserta yang terlibat kali ini berusia antara 33 hingga 58 tahun yang menempuh perjalanan sejauh 2,635 kilometer (km)

Mohd Shahrazlee yang bertugas sebagai juruteknik komputer berkata, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang perjalanan yang cukup mencabar.

"Cabarannya pasti melalui jalan di persisiran pantai kerana jalannya yang kurang rata dan kawasan kampung yang agak terpencil.

"Kami perlu menunggang dengan lebih berhati-hati memandangkan fizikal motosikal ini yang besar dan berat mencecah 207 kilogram (kg)," katanya.

Beliau berkata, banyak kawasan dilalui dan antara yang menarik perhatian peserta jelajah ini ialah Ampangan Muda di Kedah kerana ada jualan ikan air tawar yang agak murah.

Selain itu, lokasi bersejarah iaitu di Kubu Lereng Bukit di Pengerang, Johor dan Pantai Jambu Bongkok, Terengganu kerana kawasan pantainya yang sangat bersih dan cantik.

"Perjalanan kami bermula di Kuala Lumpur dan bermalam di dalam khemah di tiga lokasi iaitu Kuala Perlis pada hari pertama diikuti Pantai Penarik, Terengganu dan Tanjung Balau, Johor.

"Antara lokasi lain yang kami singgah sepanjang perjalanan ialah Ban Pecah, Perak; Pulau Bunting, Kedah; Empangan Pedu; Tasik Banding, Perak; Rumah Api Tanjung Jara, Terengganu dan Tanjung Lumpur, Pahang," katanya.

Selain itu, Dataran Tanjung Gemuk, Rompin; Pekan Tanjung Sedili; Tanjung Balau; Kubu Lereng Bukit, Pengerang, Johor; Laman Diraja, Pontian; Dataran Tanjung Emas; Dataran 1Malaysia Melaka; Pantai Pengkalan Balak, Port Dickson dan berakhir di Litar Sepang.

Disiarkan pada: February 21, 2018 @ 5:24pm
d