mutakhir

4 jam bersih rumah bapa Mat Tere

Oleh Betty Subaryati

DUA lori terpaksa disediakan untuk mengangkut sampah daripada rumah warga emas yang lumpuh di Pengkalan Chepa, hari ini.

Kerja pembersihan itu dilakukan oleh 12 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dari 9 pagi hingga 1.30 tengah hari tadi di Kampung Desa Kemumin yang turut mendapat kerjasama jiran warga emas itu.

Pegawai Bahagian Latihan dan Operasi APM Kota Bharu, Leftenan Safiyan Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan mengenai timbunan sampah di rumah Baharum Osman, 69, yang juga bapa kepada Muhammad Zul Apis Baharum atau lebih dikenali sebagai Mat Tere pada minggu lalu. “Kami mengambil masa hampir empat jam mengeluarkan sampah dan barangan lusuh dari rumah mereka, seperti pakaian dan karpet buruk.

“Kami juga terpaksa mencuci keseluruhan bahagian rumah bermula daripada hadapan hingga ke dapur termasuk tandas yang bertakung dengan air kotor,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, Baharum yang menghidap penyakit buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis tinggal di rumah itu bersama isterinya, Marjan Mohamad Hassan, 55.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Tanpa Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor, Hamidah Maidin berkata, pihaknya menghantar surat aduan kepada APM bagi membantu menyelesaikan masalah timbunan sampah di rumah pasangan itu.

“Jiran pernah cuba menolong membersihkan rumah itu tetapi usaha mereka tidak begitu disenangi isteri Baharum.

“Baharum dulu bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan dan turut mengutip barang terpakai untuk menambah pendapatan namun kini tidak lagi mampu berjalan selepas diserang angin ahmar kira-kira dua bulan lalu,” katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2018 @ 8:16pm
d