mutakhir

Istita'ah menuju ke Tanah Suci

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Umat Islam perlu memperluaskan skop pengetahuan tentang maksud istita’ah atau kemampuan untuk menunaikan ibadah haji yang bukan saja bermaksud mampu dari segi wang ringgit semata-mata.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) Dr Ahmad Sufian Che Abdullah berkata, kemampuan yang dimaksudkan al-Quran dalam surah al-Imran ayat 95 adalah dinamik dan persediaan yang merangkumi pelbagai aspek.

Menurutnya, tahap kemampuan tidak semestinya diukur daripada wang ringgit, tetapi persediaan bakal haji meninggalkan keluarga dalam keadaan yang cukup segalanya untuk keperluan kehidupan seharian.

“Maksudnya, apabila kita pergi haji itu semua tanggungjawab seharian kita yang ditinggalkan tidak boleh terjejas, selain kemampuan sudut lain seperti kesihatan tubuh badan dan sebagainya,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, kemampuan juga dilihat dari sudut cara pengurusan kewangan yang baik sebagai persediaan ke Tanah Suci menunaikan rukun Islam kelima itu.

Jelasnya, dunia hari ini menyaksikan ramai dalam kalangan masyarakat mempunyai duit yang banyak, tetapi lalai menyediakan simpanan untuk ibadah haji.

“Keadaan ini seolah-olah menggambarkan orang itu kufur nikmat kerana kemampuan itu sudah ada, tetapi sanggup membazir segelas kopi RM15 dan kerap bertukar gajet walaupun tiada keperluan.

“Jadi kalau ikutkan istita’ah atau kemampuan itu tidak diusahakan sehabis-habisnya untuk membolehkannya menunaikan haji sebagaimana hadis Nabi Muhammad SAW.

“Hadis Rasulullah menyebut, orang Islam tidak boleh bersusah payah kecuali untuk pergi ke tiga masjid, iaitu Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa,” jelasnya.

Menyentuh tentang subsidi yang diberikan Tabung Haji (TH) untuk pendepositnya menunaikan haji, Ahmad Sufian berkata, umat Islam juga tidak digalakkan bergantung kepada subsidi walaupun ianya dibolehkan.

“Kita tak bolehlah bergantung sepenuhnya kepada subsidi bahkan dalam Mazhab Shafie pun kita tak boleh meminta-minta pada orang lain untuk melaksanakan kewajipan terhadap diri sendiri sedangkan mempunyai kemampuan.

“TH mempunyai struktur pengurusan dan perkhidmatan haji terbaik di dunia dan dengan pengagihan subisidi yang diberikan oleh kerajaan, ia menjadi sebahagian daripada nilai tambah kepada kemampuan jemaah haji,” katanya.

Jelasnya, selain soal kemampuan, umat Islam juga perlu memastikan mereka tidak melanggar prinsip keutamaan dalam Islam untuk menjadi tetamu Allah.

“Kalau dilihat kepada trend masyarakat hari ini, ada yang akan menggunakan wang tabungan haji untuk menunaikan umrah sedangkan keutamaan sepatutnya adalah untuk menunaikan haji.

“Alasannya adalah giliran menunggu yang lambat sedangkan jumlah tabungan yang ada pun belum cukup untuk menunaikan haji dan keadaan ini jelas sekali telah melanggar prinsip keutamaan dalam agama.

“Adalah lebih baik sekiranya wang yang digunakan untuk mengerjakan umrah itu digunakan untuk tambahan kepada pakej lain yang ditawarkan untuk menunaikan haji. Bagaimanapun, ini tertakluk kepada giliran haji tahun semasa,” katanya.

Ditanya dengan sikap sesetengah umat Islam yang melihat simpanan di TH sebagai satu bentuk pelaburan dan bukannya untuk menunaikan rukun Islam kelima, Ahmad Sufian berkata, simpanan di TH tidak wajar dianggap sebagai pelaburan untuk meraih keuntungan.

“Untuk melabur, kita perlu menyimpan terlebih dulu dengan TH, supaya pendeposit mempunyai jaminan simpanan untuk membolehkan mereka ke Makkah. Jadi, adalah lebih baik fokus itu menjadi keutamaan,” katanya.

Ahmad Sufian menjelaskan, Yad Dhamanah bermaksud menyimpan duit pendeposit tetapi pada masa sama menjaga modal daripada mengalami kerugian.

Ini bermakna, sekiranya berlaku keadaan tertentu, TH tetap akan memberikan modal asal simpanan kepada pendeposit, sekali gus mengelakkan mereka mengalami kerugian.

“Konsep Yad Dhamanah juga membenarkan TH menggunakan duit pendeposit dalam pelaburan bertujuan mengembangkan ekonomi Islam kerana Islam juga tidak membenarkan duit yang banyak disimpan begitu saja.

“Sebaliknya, ia perlu dilaburkan dalam sektor ekonomi yang boleh menjana ekonomi masyarakat,” katanya sambil menambah prinsip Yad Dhamanah tidak membenarkan TH menjanjikan sebarang bentuk hibah atau dividen kepada pendeposit.

Jelasnya, sebarang bentuk pulangan atau hibah yang dijanjikan TH kepada pendeposit akan menjadi riba’ yang mana haram hukumnya jika ia dilaksanakan.

“Sebab itu jika dilihat sebagai contoh, TH tidak akan mengumumkan pada tahun semasa yang mereka akan berikan hibah pada tahun berikutnya kerana hukumnya jatuh menjadi riba’.

“Hibah semata-mata sebenarnya adalah atas budi bicara insitusi itu dan bukannya sebab mereka tidak mahu beri, tetapi tidak boleh menjanjikannya (hibah) lebih awal jika tidak mahu membawanya kepada hukum riba’,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2018 @ 7:39am
d