mutakhir

Gaya moden, hipster

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuantan: Generasi muda di sini, boleh memanfaatkan Festival GegaRia edisi ketiga yang akan diadakan di pekarangan Stadium Darul Makmur Sabtu ini, bagi mendapatkan pengalaman baru serta pelbagai aktiviti berfaedah.

Ia sejajar dengan tarikan utama festival berkenaan yang berkonsepkan moden, hipster dan penuh warna-warni.

Razlan Arif Abdullah, 20, dari Tanjung Lumpur berkata, penganjuran festival itu di Pahang bukan hanya dapat membuka peluang perniagaan kepada generasi muda, malah dapat mendekatkan golongan itu melalui aktiviti bermanfaat pada cuti hujung minggu.

Menurutnya, golongan remaja dan belia harus memanfaatkan pengisian dan program dalam GegaRia di samping ia turut menampilkan artis popular tempatan bagi memeriahkan festival anjuran Media Prima Berhad (MPB) itu.

Tinjauan di lokasi di sini, semalam mendapati persiapan kontraktor yang dilantik memasuki fasa akhir apabila beberapa khemah dan gerai sudah didirikan.

Kerja pemasangan khemah bermula seawal jam 10 pagi dan ada penduduk tidak melepaskan peluang hadir untuk meninjau persiapan yang dilakukan.

Sebelum ini, festival itu diadakan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam sebagai destinasi pertama sebelum ke Johor Bahru.

Festival GegaRia menyediakan pelbagai acara dengan pelbagai elemen gaya hidup dengan fokus utama generasi muda yang boleh dikongsi melalui hashtag #gogegaria #gegariafest #festivalgegaria.

Disiarkan pada: February 22, 2018 @ 8:01am
d