mutakhir

Mengaku salah seludup PATI [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

LELAKI warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas lapan pertuduhan menyeludup masuk lapan warga asing, awal bulan ini.

Kasbullah, 41, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad.

Bagaimanapun, pengakuan bersalah tertuduh tidak diterima berikutan pertuduhan berkenaan hanya boleh dibicara di Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelapan, tertuduh didakwa menjalankan aktiviti penyeludupan lapan migran warga Indonesia iaitu Adi Irwansyah, Rusman, Yazid, Arikurniawan, Suhendri, Iliyas, Deni Istiawan dan Erwinkaro, berusia antara 16 hingga 50 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di persisiran pantai kawasan rumah awam Taman Aman, Ujong Pasir, 1.50 pagi, pada 9 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen, Mohamad Fuad Ramlan mencadangkan tertuduh tidak ditawarkan jaminan kerana kesalahan turut disabit mengikut Seksyen 13 Akta Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012.

Meor Sulaiman kemudian memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh dan menetapkan 23 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: February 22, 2018 @ 1:44pm
d