mutakhir

Makkah, Madinah bukan tempat berfesyen

Oleh Ifwan Tun Tuah

GOLONGAN selebriti yang berfesyen secara berlebih-lebihan serta memperagakan kemewahan ketika menunaikan ibadat di Makkah dan Madinah, ditegur supaya kembali kepada prinsip Islam yang sebenar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perbuatan berkenaan yang dikongsi di laman sosial untuk mendapat banyak 'likes' serta perkongsian, tidak selari dengan ajaran agama yang sebenarnya.

"Makkah dan Madinah adalah tempat suci untuk umat Islam datang beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Jadi elemen yang boleh membawa kepada kesombongan, keangkuhan, riak dan sebagainya akan memusnahkan pahala ibadat.

"Kita kena kembali kepada prinsip Islam, bukan pergi ke sana memperagakan (fesyen dan aksesori) dan tularkan untuk menjadi lebih masyhur," katanya pada sidang media bersama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, selepas majlis Multaqa Murabbi Ummah di Seremban, hari ini.

Beliau mengulas mengenai trend beberapa selebriti tempatan yang mengambil kesempatan bergambar dengan memperagakan fesyen terkini, termasuk aksesori berjenama mewah ketika menunaikan umrah di Makkah dan Madinah.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, masyarakat termasuk pengguna laman sosial perlu dididik supaya tidak mengagungkan golongan selebriti, lebih-lebih lagi yang menggunakan agama sebagai satu daripada cara mempromosikan diri.

"Hari ini, kita bukan sahaja berhadapan dengan selebriti biasa, malah yang lahir daripada program realiti TV agama. Mereka ini kadang-kala melampaui batas dengan mengeluarkan pandangan agama atau fatwa melangkaui kuasa mufti atau tanpa merujuk kepada pihak berkuasa agama.

"Jadi, masyarakat perlu dididik untuk menghormati pihak berkuasa agama dan berpandukan kepada keputusan atau fatwa yang dikeluarkan oleh pihak yang terbabit," katanya.

Terdahulu, pada majlis sama, Asyraf dan Mohamad menyampaikan bayaran khas berjumlah RM1,000 kepada 1,200 orang imam, bilal, siak, guru KAFA dan guru takmir dari daerah Seremban.

Mohamad berkata, secara keseluruhan kira-kira 5,000 imam, bilal, siak, guru KAFA dan guru takmir di seluruh negeri akan menerima bayaran khas itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2018 lalu.

"Bayaran ini dibuat dua kali iaitu RM1,000 pada awal tahun manakala RM500 lagi akan dibayar menjelang Aidilfitri nanti," katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2018 @ 3:37pm
d