mutakhir

Ku utus peluru untukmu

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

ANGGOTA polis bantuan di syarikat utiliti di Sungai Siput, Ipoh terkejut apabila mendapati ada enam butir peluru hidup dalam satu sampul surat yang dialamatkan kepada seorang penyelia di satu daripada bahagian di syarikat berkenaan.

Dalam kejadian 2 petang semalam, polis bantuan berusia 54 tahun itu yang sedang bertugas menerima sampul surat berwarna coklat yang dihantar syarikat pos sebelum berasa curiga dengan kandungan surat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Rozeni Ismail, berkata akibat curiga, anggota berkenaan kemudiannya membuka surat berkenaan walaupun surat itu dialamatkan kepada penyelia di syarikat itu sebelum terkejut mendapati terdapat enam butir peluru hidup di dalamnya.

Menurutnya, anggota polis bantuan berkenaan yang bimbang dengan keselamatan pekerja di syarikat berkenaan selepas menerima peluru berkenaan kemudiannya membuat laporan polis.

Katanya, siasatan awal polis mendapati peluru berkenaan adalah jenis peluru yang digunakan untuk revolver dan siasatan lanjut berkenaan penemuan peluru itu sedang dijalankan.

"Polis masih menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2018 @ 3:53pm
d