mutakhir

Cuaca panas bukan kerana ekuinoks

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

KEADAAN cuaca panas yang berlaku ketika ini bukan disebabkan oleh fenomena ekuinoks, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Alui Bahari.

Menurutnya, fenomena ekuinoks berlaku di negara ini dua kali dalam setahun iaitu pada 20 Mac dan 23 September.

"Justeru, masih terlalu awal untuk mengatakan cuaca panas pada waktu ini berikutan fenomena ekuinoks kerana apa yang berlaku ketika ini disebabkan proses perolakan.

"Kita berada di hujung Monsun Timur Laut dan keadaan di Pantai Timur juga tidak ada berlaku banjir monsun, manakala di sebelah petang kawasan kita (barat) ada berlaku hujan," katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Ekuinoks adalah satu fenomena apabila matahari berada tepat pada garisan Khatulistiwa selepas bergerak dari hemisfera selatan ke utara yang menyebabkan cuaca lebih panas dan tempoh siang di kawasan Khatulistiwa lebih panjang daripada biasa.

Ia adalah fenomena biasa berlaku dua kali dalam setahun iaitu Mac dan September ketika matahari berada tegak di atas garisan Khatulistiwa, iaitu lokasi negara ini berada.

Dalam pada itu, Alui berkata, keadaan cuaca pada ketika ini juga disifatkan baik kerana separa panas dan lembap.

"Cuaca pada ketika ini adalah bagus kerana nak kata lembap pun tidak, panas sangat pun tidak," katanya.

Ditanya mengenai kawasan titik panas di negara ini, beliau berkata, buat masa ini tiada lokasi dikesan memandangkan waktu Monsun Barat Daya belum bermula yang dijangka pada Mei atau Jun.

Monsun Barat Daya adalah musim kering bagi Malaysia dan dalam tempoh itu, negara akan mengalami lebih banyak hari tanpa hujan.

Disiarkan pada: February 22, 2018 @ 6:57pm
d