mutakhir

'Sewa inap desa konon...'

Oleh Shahrinnahar Latib

SEKUMPULAN lima remaja termasuk penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) sanggup menyewa inap desa di bandar Kuantan semata-mata mahu menghisap dadah.

Perbuatan mereka berusia 18 hingga 21 tahun itu dikesan polis sebelum ditahan dalam Ops Sarang bermula 10.30 malam tadi hingga 4 petang ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, kumpulan lima remaja terbabit antara 51 orang ditahan kerana memiliki ganja dan menghisap syabu.

"Kami membuat pemeriksaan ke atas inap desa berkenaan selepas mendapat maklumat daripada orang awam dan menahan tiga remaja perempuan serta dua lelaki.

"Kami percaya mereka menyewa inap desa berkenaan semata-mata untuk menghisap dadah selain mengelak daripada dikesan polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Ops Sarang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kuantan itu dilaksanakan di sekitar bandar ini termasuk Gugusan FELDA Lepar Hilir, Sungai Lembing dan Tanjung Lumpur.

"Hasil operasi berkenaan, polis menahan 44 lelaki dan tujuh perempuan bagi pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah.

“Semua tangkapan berusia 18 hingga 45 tahun dan kesalahan dilakukan adalah memiliki dadah serta ujian air kencing positif dadah," katanya.

Mohd Noor Yusof berkata, pihaknya turut merampas beberapa jenis dadah iaitu syabu seberat 5.2 gram (g), yaba 0.03g dan ganja 1.08g.

Beliau berkata, pihaknya mendapati 50 peratus daripada mereka pernah ditahan sebelum ini berkaitan kesalahan sama.

“Semua suspek kini ditahan reman bermula hari ini hingga Sabtu ini di Lokap Berpusat, Indera Mahkota untuk tujuan siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Saya menggesa orang awam supaya bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan mereka di talian 09-5652133,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2018 @ 7:38pm
d