mutakhir

Binatang pun tahu sayang anak!

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

LAYAK digelar ibu durjana apabila seorang wanita sanggup membiarkan teman lelaki mencabul dan meliwat dua anak perempuannya.

Difahamkan kejadian kejam itu dilakukan suspek di sebuah rumah di di Setapak Jaya, di sini, sejak sebulan lalu.

Sumber polis berkata, wanita berusia lingkungan 30-an itu didakwa tinggal serumah bersama teman lelakinya itu tanpa ikatan sah sejak setahun lalu.

Menurutnya, mangsa adik beradik berusia 14 dan 17 tahun tinggal di rumah berkenaan selepas ibu dan bapanya bercerai beberapa tahun lalu.

“Suspek kebiasaannya akan mengambil kesempatan mencabul dan meliwat mangsa apabila ibu mangsa keluar bekerja atau tiada di rumah.

“Tindakan tidak bermoral itu berlaku berulang kali namun suspek berusia lingkungan 30-an memberi amaran akan mencederakan mangsa jika perbuatan kejinya itu terbongkar,” katanya.

Katanya, mangsa juga pernah dipukul suspek beberapa bulan lalu hingga menyebabkan remaja itu cedera.

“Mangsa akhirnya menceritakan kesengsaraan dialami kepada bapa saudaranya selepas tidak tahan diperlakukan suspek.

Mengikut maklumat awal, mangsa pernah menceritakan perkara dialami kepada ibunya namun wanita terbabit tidak mempercayai kata-kata anaknya itu.

“Bapa saudara mangsa kemudian segera membuat laporan polis berkaitan kejadian itu sebelum suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2018 @ 8:25pm
d