mutakhir

Jom isi 10,000 kekosongan

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Kira-kira 10,000 peluang pekerjaan bakal ditawarkan kepada pencari kerja menerusi Karnival Kerjaya Johor 2018 sempena Jobs Fair di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Galleria@Kotaraya pada 3 dan 4 Mac depan.

Pengurus Kanan Unit Swadaya Insan Negeri Johor Mohd Syahrul Syahid Mohd Salleh berkata, pekerjaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai sektor dan peringkat sesuai bagi lepasan sekolah dan graduan.

Menurutnya, pekerjaan itu ditawarkan oleh 120 majikan dan pihaknya menjangka karnival berkenaan menerima sambutan lebih 20,000 pengunjung.

Katanya, program yang bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang dianjurkan kerajaan negeri menerusi Unit Swadaya Insan Negeri Johor itu bakal menyaksikan sesi temuduga terbuka, pameran kerjaya, pendaftaran dalam talian, klinik kerjaya dan forum Iskandar Ambassador.

“Peluang pekerjaan di negeri ini memang banyak iaitu kira-kira 30,000 kekosongan membabitkan pelbagai sektor namun kadang kala pencari kerja tidak menerima maklumat tepat hingga gagal merebut peluang.

“Kerajaan negeri mengambil beberapa langkah bagi memastikan penempatan pekerjaan dapat dilakukan dalam kalangan pencari kerja.

“Ia termasuk menerusi penganjuran karnival kerjaya seumpama ini selain kembara kerjaya yang dianjurkan pada Januari lalu,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Hab Kerjaya Pelajar dan Perwani Cosmopoint Johor di Dewan Seminar Kolej Cosmopoint di Menara City Square, semalam.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Kumpulan Kolej Cosmopoint Najmie Noordin dan Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Johor Mohd Ali Taib.

Disiarkan pada: February 23, 2018 @ 5:49am
d