mutakhir

Maut motosikal bertembung

Oleh Farah Suhaidah Othman

Teluk Intan: Seorang maut dan seorang lagi parah selepas dua motosikal bertembung di Jambatan Sultan Yusuf di Kilometer 49, Jalan Teluk Intan-Sitiawan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, Yahaya Ayob, 50-an, maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi penunggang lelaki berusia 40-an cedera di beberapa bahagian badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak Superintendan Yahaya Hassan berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa yang maut dalam perjalanan dari Teluk Intan menghala ke Sitiawan, manakala sebuah lagi motosikal dalam perjalanan dari arah bertentangan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai memotong sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti sebelum bertembung dengan sebuah lagi motosikal secara berhadapan.

“Akibat rempuhan itu, mangsa disahkan maut, manakala seorang lagi penunggang motosikal cedera di beberapa bahagian badan termasuk patah tulang di kaki kiri,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan (HTI) untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 23, 2018 @ 6:33am
d