mutakhir

'Doktor gigi' didenda RM100,000, penjara 24 bulan

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Seorang ‘doktor gigi’ didenda RM100,000 dan penjara 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyediakan klinik pergigian swasta tanpa lesen di sebuah bilik hotel, tiga tahun lalu.

Hakim Harmi Thamri Mohamed@Shaharuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap peniaga kosmetik atas talian, Fatin Nabilah Mohamad Hassan, 26, selaku orang kena saman (OKS) selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

OKS bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah dan dimaklumkan oleh peguamnya, Khairul Amin Abdullah bahawa anak guamnya kini berada di Hospital Melaka kerana menjalani rawatan akupuntur akibat mengalami masalah diska tergelincir (slipped disk).

Mahkamah tetap meneruskan prosiding semalam berikutan memberi masa lebih dua minggu untuk OKS menguruskan kesihatannya.

Hukuman pemenjaraan itu berkuat kuasa selepas OKS melapor diri di penjara. Fatin Nabilah turut berdepan hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Pada prosiding itu juga, mahkamah menolak penangguhan pelaksanaan hukuman penjara yang dimohon oleh peguam dan memerintahkan OKS membayar denda dengan segera.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Harmi berkata, kesalahan dilakukan OKS serius dan perlu dipandang berat oleh semua pihak.

“Ia boleh memberi kesan besar kepada kesihatan pesakit dan orang awam yang memasang pendakap gigi menggunakan perkhidmatan tak berdaftar,” katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2018 @ 7:40am
d