mutakhir

Pikat 30,000 pengunjung

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz dan Nurul Nadira Shaari

Kuantan: Festival GegaRia edisi ketiga yang bakal berlangsung di pekarangan Stadium Darul Makmur dijangka dapat menarik lebih 30,000 pengunjung.

Koordinator program merangkap Pengurus Pengiklanan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Mohd Anis Abdullah berkata, sasaran itu mampu direalisasikan berdasarkan sambutan yang diterima dalam dua edisi sebelum ini di Selangor dan Johor.

Menurutnya, untuk edisi pertama yang dianjurkan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam berjaya menarik 25,000 pengunjung manakala festival kedua yang dijayakan di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru pada 3 Februari lalu dikunjungi seramai 30,000 pengunjung.

“Kita yakin sasaran lebih 30,000 pengunjung mampu direalisasikan dan hingga kini kita sudah menerima pendaftaran 800 peserta untuk terbabit dalam festival ini.

“Penampilan beberapa artis terkemuka tanah air seperti Mira Filzah, Elfira Loy, Awal Ashaari dan Scha Alyahya diyakini mampu menarik kehadiran lebih ramai pengunjung terutama generasi muda,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Mohd Anis, festival yang bakal membuka tirai esok akan bermula jam 7.30 pagi dibahagikan kepada lima zon utama iaitu Zon Makan-Makan, Zon Gaya Hidup, Zon Hiburan, Zon Komuniti dan Zon Throwback Tunnel.

Katanya, orang ramai terutama umat Islam yang hadir ke tapak festival tidak perlu bimbang kerana penganjur turut menyediakan surau bergerak dan kawasan medan selera yang selesa untuk menjamu selera.

“Pengunjung turut berpeluang beramah mesra dengan Awal Ashaari dan Scha Alyahya selain menyertai beberapa permainan tradisional dan interaktif,” katanya.

Menurutnya, festival anjuran Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) itu turut menganjurkan pertandingan permainan dalam talian atau e-games iaitu League of Legends untuk pengunjung.

Disiarkan pada: February 23, 2018 @ 8:15am
d