mutakhir

Kantoi curi rim kereta

Oleh Mohd Roji Kawi

TIGA lelaki tidak sempat menjual rim kereta yang mereka curi apabila ditahan polis di Serian, semalam.

Suspek berusia antara 17 hingga 34 tahun itu ditahan hasil risikan bersama oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, pihaknya menerima laporan kecurian rim kereta yang berlaku kira-kira 6 pagi semalam.

Bertindak atas laporan itu, pihaknya menjalankan risikan dan berjaya mengesan sebelum menahan ketiga-tiga suspek di rumah masing-masing, 5.30 petang semalam.

"Sebelum ini dua laporan diterima berhubung kes kecurian rim kereta di daerah Serian.

"Hasil penahanan ketiga-tiga suspek warga tempatan itu, polis menemui semula sejumlah rim yang dipercayai mereka curi dan turut ditemui sejumlah peralatan yang digunakan untuk mencuri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aswandy berkata, ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Serian untuk mendapatkan perintah tahanan reman, hari ini.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2018 @ 9:43am
d