mutakhir

Kelisa disangka toman

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

“SAYA ingatkan toman, rupanya kelisa dan ia pengalaman baru sepanjang lima tahun memancing di tasik itu," kata Mohd Musthakim Mohd Din, 28, ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Pemuda dari Kampung Losong Haji Mat Shafie itu berjaya menaikkan ikan kelisa seberat tiga kilogram melalui teknik 'casting' yang digunakan ketika memancing di Tasik Kenyir kira-kira 8 pagi.

Ternyata, Tasik Kenyir terus menjadi syurga buat kaki pancing terutama dalam mendapatkan ikan spesies besar, yang sukar diperoleh di tempat lain.

Ia sekali gus menafikan dakwaan Tasik Kenyir ketandusan spesies ikan yang menjadi buruan pemancing dari Singapura, Thailand, Indonesia dan China.

Musthakim berkata, dia tidak sangka umpan tiruan yang digunakan menarik perhatian ikan kelisa bersaiz besar itu.

"Bukan sahaja saya yang terkejut tetapi semua rakan dan pengunjung di tasik itu teruja apabila tahu mengenai ikan kelisa yang dipancing itu.

"Difahamkan ikan kelisa biasanya tidak mudah untuk dipancing di tasik itu dan ia biasanya ditangkap di kawasan yang terpencil menggunakan pukat.

"Justeru, apabila pancing saya mengena, saya ingatkan toman kerana ia sangat agresif dan beberapa kali meloncat di permukaan air," katanya.

Beliau berkata, dia mengambil masa selama lima minit untuk menaikkan ikan kelisa itu dan ikan itu mengalami kecederaan pada insang kerana kail terlekat di bahagian berkenaan.

"Saya ingin melepaskan semula ikan kelisa itu, namun apabila diletakkan di dalam air, ia tidak bermaya dan terapung justeru saya membawanya pulang.

"Ternyata ikan kelisa sangat sedap dan ia kurang tulang berbanding spesis ikan sungai yang lain," katanya.

Musthakim berkata, dia memang gemar memancing di Tasik Kenyir kerana lokasi itu kaya dengan pelbagai jenis ikan termasuk tapah, sebarau, toman dan baung.

"Sebelum ini, saya pernah menaikkan pelbagai jenis ikan termasuk toman dan paling besar toman seberat lima kilogram," katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2018 @ 1:15pm
d