mutakhir

Didakwa bunuh dua beradik

Oleh Sarah Zulkifli

DUA lelaki yang dikaitkan dengan kematian dua beradik pada satu majlis sambutan hari lahir di flat di Damansara Bistari dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas dua pertuduhan membunuh, dua minggu lalu.

Pembantu stor, K Pirabu, 33, dan pemandu lori, S Thinagaran, 35, hanya mengangguk tanda faham selepas kesemua pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dua rakan itu didakwa bersama-sama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap dua beradik, Sulaiman Alzander@Arifin, 44 dan Abulatiff Alzander@Arifin, 36, di perkarangan Blok B, Flat Damansara Bistari, di sini, antara 2 hingga 3 pagi, 11 Februari lalu.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, dua beradik berasal dari Batu 7, Jalan Damansara dikatakan ke majlis itu yang diadakan di sebuah khemah di hadapan Blok B flat berkenaan.

Difahamkan, lebih 30 tetamu lain termasuk wanita dan kanak-kanak pada mulanya makan malam di sebuah restoran berhampiran untuk sambutan hari lahir ke-21 seorang anak rakan mereka yang tinggal di flat terbabit.

Ketika kejadian, kebanyakan mereka dikatakan berada dalam keadaan mabuk sehinggalah timbul pertengkaran dan dua beradik itu ditetak.

Kedua-duanya parah akibat beberapa tetakan dan pasukan perubatan yang dikejarkan ke lokasi mengesahkan kedua-duanya meninggal dunia.

Susulan kejadian itu, polis menahan lapan suspek termasuk seorang wanita, semuanya berusia lingkungan 30-an hingga 50-an bagi membantu siasatan.

Berita berkaitan

Tragedi majlis hari lahir

Disiarkan pada: February 23, 2018 @ 2:47pm
d