mutakhir

Menang rumah, 100 hadiah lain [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Muhammad Mustakim Ramli

HADIAH rumah menanti pengunjung bertuah Ekspo Muafakat Kedah yang berlangsung di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, bermula esok.

Malah, lebih 100 hadiah lain seperti kereta, motosikal dan barangan elektronik turut menanti pengunjung sepanjang ekspo berlangsung selama seminggu sehingga 3 Mac depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Ekspo Isahak Murad berkata, syarat melayakkan pengunjung menyertai cabutan bertuah adalah mudah iaitu hanya melawat 20 kluster di tapak ekspo berkenaan.

“Pengunjung perlu mendaftar di kaunter pendaftaran sebelum diberikan buku pasport dan perlu melawat 20 kluster serta dapatkan cop di setiap kluster berkenaan.

“€œPengunjung tidak perlu dapatkan semua cop berkenaan dalam tempoh sehari, sebaliknya sepanjang program berlangsung bermula esok sehingga 3 Mac ini,” katanya.

Isahak berkata, ekspo itu memberi manfaat kepada pengunjung yang ingin memiliki kediaman sendiri apabila 6,000 unit rumah ditawarkan beberapa pemaju.

Beliau berkata, orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada pemaju, selain membuat semakan status kelayakan dan pihaknya menyasarkan lebih 400,000 pengunjung hadir ke ekspo berkenaan.

Antara kluster ditampilkan adalah Pameran Diraja, BARAKAH Kedah, Suara Hati, Generasi Muda Pemimpin Negara, Kedah Harmoni, Eko Kedah, Kedah Islami, Bakat Kedah, Kedah Aman, Rangkaian Kedah, Kedah Berdaya Huni, Digital Kedah, Kedah Holistik, Kewangan, Agro Kedah, Kedah Bizz, Warisan dan Pelancongan, Pameran Perkhidmatan, Pameran Daerah dan 'Petting Zoo'.

Kehadiran Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Sheikh Mustapha dan tokoh usahawan serta selebriti popular seperti Fattah Amin, Fizo Omar, Rozita Che Wan dan Janna Nick akan memeriahkan lagi ekspo berkenaan.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai yang mengunjungi ekspo meletakkan kenderaan di parkir kereta disediakan penganjur.

Antaranya sepanjang Lebuhraya Darul Aman, parkir hospital lama, sepanjang Jalan Tun Razak hingga bulatan Jalan Stadium.

Orang ramai turut boleh meletakkan kenderaan di tapak parkir kolam renang Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan parkir tambahan di belakang Hotel Seri Malaysia.

Berita berkaitan

Sasar 400,000 pengunjung

Disiarkan pada: February 23, 2018 @ 5:59pm
d