mutakhir

GegaRia Kuantan tampil kelainan

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz dan Nurul Nadira Shaari

FESTIVAL GegaRia edisi ketiga di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, esok menampilkan aktiviti interaktif sekali gus menambah keterujaan kepada pengunjung terutama generasi muda.

Koordinator program merangkap Pengurus Pengiklanan The New Straits Times Press (NSTP), Mohd Anis Abdullah berkata, festival yang bermula 8 pagi sehingga 11 malam itu mempunyai tarikan sendiri dan orang ramai tidak seharusnya melepaskan peluang untuk turut serta dalam aktiviti yang disediakan.

Berbanding program sama diadakan di Pusat Konvensyen Setia City, Selangor dan Plaza Angsana, Johor Bahru, beliau berkata, antara kelainan yang ditampilkan ialah kita mengedarkan 1,000 limau Mandarin dan riben merah sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

“Memandangkan kita masih dalam ‘mood’ Tahun Baharu Cina, kita juga menyediakan pokok hajat (wishing tree) setinggi empat meter yang dihias dengan riben merah di perkarangan tapak festival.

“Ia sebagai meraikan perayaan yang disambut masyarakat Tionghua di negara ini. Kita jangkakan dengan kelainan ini akan meningkatkan kehadiran pengunjung bukan Melayu dan memeriahkan lagi festival berkenaan.

“Malah, pengunjung bukan Melayu juga boleh menulis apa yang mereka hajati di riben merah yang disediakan,” katanya ketika ditemui di Kuantan, hari ini.

Beliau juga berkata, ‘pokok hajat’ setinggi empat meter itu sebagai simbolik kepercayaan masyarakat Cina yang akan menulis hajat mereka di atas kertas merah sebelum membalingnya di pokok itu.

Sementara itu, katanya, pengunjung yang hadir turut berpeluang menikmati kemudahan jalur lebar (WiFi) di perkarangan tapak festival.

Festival GegaRia ialah acara hipster pelbagai elemen gaya hidup dengan fokus utama generasi muda yang boleh dikongsi melalui hashtag #gogegaria #gegariafest #festivalgegaria.

Festival yang bakal membuka tirai pada Sabtu ini seawal 7.30 pagi dibahagikan kepada lima zon utama iaitu Zon Makan-Makan, Zon Gaya Hidup, Zon Hiburan, Zon Komuniti dan Zon Throwback Tunnel.

Selain itu, festival itu turut menampilkan beberapa artis terkemuka seperti Mira Filzah, Awal Ashaari, Scha Alyahya, dan Elfira Loy.

Disiarkan pada: February 23, 2018 @ 8:56pm
d