mutakhir

Dokumentari Abdullah Badawi Ogos ini [METROTV]

Oleh Nor Akmar Samudin

PRIMEWORKS Studios Sdn Bhd (Primeworks), anak syarikat Media Prima Bhd akan menerbitkan dokumentari mengenai Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Rancangan bagi menerbitkan dokumentari itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara Primeworks dengan Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI), hari ini.

Pengerusi LEGASI merangkap Pegawai Khas Tun Abdullah, Datuk Jefridin Atan berkata, penerbitan dokumentari itu bertujuan menghargai dan memberi penghormatan kepada Tun Abdullah selaku Perdana Menteri kelima dan Presiden UMNO keenam.

“Beliau banyak mencurah bakti, berkhidmat dengan rakyat dengan penuh tekad sejak 1964, bermula dengan hanya sebagai seorang pentadbir di sektor perkhidmatan awam.

“Dokumentari yang bakal diterbitkan itu juga sebagai penghargaan atas jasa dan pengorbanan Tun Abdullah khususnya ketika beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN bagi membantu Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein, pada saat negara diuji dengan tragedi hitam rusuhan kaum pada 1969.

“Ia juga sebagai penghargaan atas kesetiaan Tun Abdullah selama ini, yang mana walau apapun berlaku, beliau terus memberi sokongan padu dan berdiri teguh bersama kerajaan, parti UMNO dan Barisan Nasional,” katanya selepas majlis memeterai MoU itu di Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Bhd di Kuala Lumpur, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks, Datuk Izham Omar; Pengarah Urusan Media Prima, Datuk Kamal Khalid dan Setiausaha LEGASI, Dr Muhammad Hakimi Mohd Shafiai.

Dokumentari selama sejam itu akan fokus kepada pembangunan Modal Insan selaras gelaran yang diberikan kepada Abdullah iaitu Bapa Pembangunan Modal Insan di mana beliau sering menekankan pembangunan kemahiran insaniah sebagai modal yang terpenting.

Jefridin berkata, bagi Abdullah, pencapaian fizikal semata-mata tidak akan bererti tanpa diimbangi dengan elemen manusia iaitu modal insan yang terlatih, berilmu, berakhlak mulia, berkemahiran, berintegriti dan mampu berfikir dengan intelektual tinggi.

Katanya, Abdullah juga menggariskan 10 prinsip penting dalam Manhaj Hadari yang beliau perkenalkan, antaranya keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT, penguasaan ilmu pengetahuan, kehidupan berkualiti dan keutuhan budaya serta moral.

Antara sumbangan dan jasa Tun Abdullah, mewujudkan Institut Integriti Nasional, Kurikulum J-Qaf di sekolah-sekolah, kewujudan Halal Corporation, pembangunan lima koridor wilayah iaitu Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE) dan Sabah Development Corridor (SDC).

“Prinsip hidup, keperibadian dan kepimpinan Tun Abdullah yang berteraskan modal insan dalam membangunkan negara patut dijadikan rujukan kepada masyarakat yang boleh disampaikan melalui pelbagai medium termasuk menerusi program televisyen,” katanya.

Dokumentari itu akan disiarkan di TV3 menerusi slot Majalah 3 pada Ogos ini sempena bulan kemerdekaan dan selaras dengan kandungan dokumentari itu yang memaparkan kisah negarawan budiman, setia lagi terbilang.

Jefridin berkata, LEGASI dan Primeworks sedang giat mengumpul bahan mengenai Tun Abdullah daripada rakan-rakan sekerja, sahabat handai, keluarga serta tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang dan latar belakang.

Hingga kini perancangan penggambaran hanya dilakukan dalam negara namun sekiranya ada tajaan kewangan, LEGASI bercadang membuat liputan di luar negara seperti Jepun, China, United Kingdom, Kazakhstan dan Arab Saudi.

“LEGASI juga berharap dapat terus bekerjasama dengan Primeworks untuk memasarkan dokumentari terbabit kepada stesen TV dalam dan luar negara,” katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2018 @ 9:31pm
d