mutakhir

Dekatkan yang jauh

Oleh Amin Ridzuan Ishak

Kuanta: “Pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) saya anggap projek untuk rakyat, kereta api rakyat...ia dapat mendekatkan mereka yang berada di Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan Selangor (Lembah Klang)... orang jauh menjadi lebih dekat,” titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Tengku Abdullah bertitah, baginda menyambut baik pelaksanaan projek mega itu yang akan memberi kesan positif dan manfaat besar antaranya memudahkan pergerakan dan membangunkan pertumbuhan bandar baru di Pantai Timur.

“Pahang beruntung kerana berada di tengah-tengah dan saya percaya ia mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri ini,” titahnya ketika merasmikan Ibu Pejabat Tanah Makmur Berhad dan Galeri Jualan KotaSAS, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengarah Eksekutif Tanah Makmur Berhad, Tengku Amir Nasser Tengku Ibrahim.

ECRL yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Ogos tahun lalu membabitkan pembinaan laluan rel kereta api sepanjang 600.3 kilometer merentasi sebahagian Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Projek mega bernilai RM55 bilion yang dijangka siap pada 2024 itu adalah pengangkutan awam penumpang dan kargo yang berupaya memendekkan perjalanan dari Tumpat, Kelantan ke Gombak, Selangor kepada lima jam.

Ia sekali gus dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi sehingga 1.5 peratus bagi negeri di Pantai Timur, seterusnya menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Sementara itu, Tengku Abdullah bertitah, perancangan pembangunan KotaSAS termasuk membabitkan pembinaan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah dilaksanakan sejak sekian lama termasuk oleh pemimpin terdahulu antaranya, Allayarham Datuk Abdul Rahim Abu Bakar, Najib dan pada masa ini diteruskan Adnan.

“Ia visi asal datang daripada keprihatinan kerajaan negeri yang berfikiran panjang untuk memastikan Kuantan menjadi lebih berkembang selepas 2020.

“Kita juga ada perancangan (pembangunan) Gebeng yang terletak tidak jauh daripada KotaSAS, ia melengkapi satu sama lain bukan bersaing dan kita harap dapat melihat perkembangan pesat Kuantan dalam tempoh 10 ke 20 tahun akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 3:05am
d