mutakhir

Demimu adik...

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Seri Iskandar: “Selagi adik tak sembuh saya tidak meninggalkannya untuk menyambung pengajian yang berbaki setahun lagi,” kata Muhammad Iqbal Shah Zakaria, 29.

Dia menangguhkan pengajian di tahun tiga jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Reka Bentuk Produk, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) demi menjaga adik tunggalnya, Muhammad Ikhwan Shah, 28, yang menghidap kanser kelenjar atau limfoma tahap empat.

Dua beradik itu saling bergantung hidup selepas bapa dan ibu mereka, Zakaria Mohd Hasan, 63, dan Fadilah Kamaluddin, 59, meninggal dunia akibat sakit kencing manis pada 2009 dan kanser ovari pada 2012.

Muhammad Iqbal berkata, dia dan adiknya kini menetap bersama bapa saudara, Jamaaddin Kamaluddin, 58, di Iskandar Bestari, di sini, yang bimbangkan keadaan mereka terutama selepas adiknya itu disahkan menghidap kanser.

Katanya, Februari tahun lalu dia menangguhkan pengajian setahun yang berakhir bulan ini kerana kekangan kewangan sebelum bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Pulau Pinang.

“Dengan gaji RM1,800 sebulan, saya simpan selain gunakan untuk perbelanjaan diri serta adik yang ketika itu tinggal di rumah kami di Kampung Padang Bola, Parit,” katanya.

Katanya, semua berubah secara tiba-tiba apabila adik kesayangannya itu disahkan mempunyai kanser kelenjar pada November lalu apabila kerap pening kepala dan sakit seluruh badan.

“Seminggu sebelum itu adik hubungi saya yang ketika itu berada di Pulau Pinang dan mengadu sakit teruk di seluruh badan.

“Bimbangkan dirinya saya bergegas pulang sebelum terkejut melihat perut adik membesar selain kedua-dua kakinya bengkak.

“Kami ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan dia ditahan selama seminggu. Doktor mengesahkan dia ada kanser kelenjar tahap empat,” katanya.

Dia ditemui ketika dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim di rumah Jamaaddin semalam.

Hadir sama Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak Tengah, Nor Azlinda Ahmad Shaari serta Pengerusi Majlis Belia Daerah Perak Tengah, Benyamin Rabiee.

Muhammad Iqbal berkata, dia mengambil cuti tanpa gaji sebelum mengambil keputusan berhenti kerja pada awal Februari lalu kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya pada adiknya.

“Sepatutnya saya kembali menyambung pengajian, namun kerana keadaan Ikhwan membuatkan saya tidak tenang jauh dari adik dan kerana tidak mahu memberi kesan kepada pelajaran.

“Keputusan itu sukar kerana jurusan yang diambil adalah minat saya namun atas nasihat universiti saya kembali menangguhkan pengajian buat kali kedua,” katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 3:56am
d