mutakhir

Jasa tiga wira TUDM disanjung

Oleh Faris Fuad

Kuala Lumpur: Walaupun sudah sekian lama terkorban ketika melaksanakan tugas namun jasa tiga juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih terus disanjung.

Ini dibuktikan apabila mendiang Mejar C Kayamboo yang maut dalam nahas pesawat Beechcraft King Air 200T di Pangkalan TUDM pada 21 Disember 2016, Allahyarham Mejar Yazmi Mohamed Yusof dan Allahyarham Mejar Mohd Hasri Zahari masing-masing terkorban dalam nahas pesawat Hawk 108 ketika sesi latihan di Chukai, Kemaman, Terengganu pada 15 Jun 2017 dikurniakan anugerah secara anumerta (posthumous) semalam.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalamkenyataanya memberitahu, tiga individu berkenaan diraikan dalam satu majlis penganugerahan bagi menunjukkan tanda penghargaan kepada mereka yang menabur bakti kepada TUDM dan negara ini secara amnya.

Katanya, majlis yang berlangsung secara sederhana turut diselitkan dengan sesi mengimbau kembali semula pencapaian dan pengorbanan tokoh terbabit.

“Ketiga-tiga juruterbang TUDM itu menerima satu kenaikan pangkat asal mereka.

“Penganugerahan pangkat berkenaan disampaikan kepada isteri mendiang Kayamboo, S Usha, isteri Allahyarham Yazmi, Shofara Izwa Hilmidan dan isteri Allahyarham Hasri, Asysyuhadak Ahmad,” katanya, semalam.

Majlis penganugerahan itu disempurnakan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Affendi Buang di Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan, di sini.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad dan Panglima Pendidikan dan Latihan Udara TUDM,Leftenan Jeneral Datuk Kamarulzaman Mohd Othman.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 4:20am
d