mutakhir

Gundah kenang nasib diri

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Pasir Puteh: “Sejak disahkan menghidap kanser mata dua bulan lalu, saya lebih banyak diamkan diri kerana bimbang dengan nasib tiga adik yang masih memerlukan kasih sayang seorang kakak.

“Kami empat beradik saling bergantung satu sama lain, apatah lagi ibu dan ayah meninggal dunia sejak 14 tahun lalu,” kata Noraida Nor Saidin, 21.

Dia yang ditemui di rumah neneknya di Kampung Gong Guchil, Sungai Petai di sini, mengakui resah apabila mengenangkan adik-adiknya, jika penyakitnya semakin serius.

Menurutnya, ibu bapa mereka meninggal dunia masing-masing akibat barah otak dan demam panas sejak itu mereka menetap di rumah nenek.

Katanya, dia sendiri menyedari mewarisi penyakit kanser apabila kerap demam dan batuk berpanjangan sebelum mata kirinya sakit dan sukar dibuka.

“Sebaik dimasukkan ke wad di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dua bulan lalu, doktor mengesahkan saya menghidap kanser mata di sebelah kiri dan perlu rawatan rapi.

“Pada masa sama, saya juga dikesan menghidap tuberkulosis (tibi) dan kini dalam proses pemulihan,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Puteri UMNO yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang menyampaikan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan, semalam.

Anak sulung itu berkata, disebabkan penyakit berkenaan berat badannya turun mendadak sehingga sembilan kilogram kerana terlalu risaukan nasib diri serta adiknya, Mohd Aidil, 19, Mohd Afendi, 17, dan Mohd Fazli, 14, yang belajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Jeli.

Noraida berkata, dia dan adik-adiknya sangat bertuah kerana mendapat sokongan dan penjagaan datuk, Mohd Daud Jusoh, 67, dan nenek, Masitah Awang, 64, sejak kecil selepas ibunya (Rohana Johari) meninggal dunia 14 tahun lalu diikuti ayah (Nor Saidin Mohd Daud) setahun kemudian.

“Alhamdulillah datuk dan nenek menjadi pengganti arwah ibu dan ayah serta mereka memberi pelajaran terbaik kepada kami.

“Saya harap penyakit ini akan sembuh kerana mahu membalas jasa mereka yang banyak berkorban membesarkan saya dan adik-adik,” katanya.

Sementara itu, Masitah berkata, sejak dikesan menghidap kanser mata, cucunya itu banyak mendiamkan diri tetapi bersemangat untuk sembuh sepenuhnya.

“Keadaan Noraida lebih baik berbanding dua bulan lalu dan kami akan memberi sokongan kepadanya untuk kembali sembuh dan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 4:28am
d