mutakhir

Latihan pernafasan amalan johan Qari Sabah

Oleh Norasikin Daineh

MELAKUKAN latihan mengawal pernafasan, bersenam serta membaca al-Quran setiap hari selepas solat Subuh dan Maghrib.

Itu antara amalan harian Mohd Ayub Maidi, johan Tilawah al-Quran sempena Majlis Hafazan dan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Kota Kinabalu, malam tadi.

Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan turut dihadiri Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

Mohd Ayub, 40, dari Kampung Sisipan, Semporna berkata, beliau menyertai tilawah itu sejak 2011 dan tahun lalu hanya mendapat sagu hati.

“Setiap hari saya mengambil masa 10 hingga 15 minit untuk berlatih dan saya gembira persediaan itu membuahkan hasil apabila dinobat sebagai johan kali ini,” katanya.

Imam Kariah itu membawa pulang wang tunai RM6,000, piala, sijil penyertaan dan persalinan pakaian bersama buku daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Bagi johan Qariah pula, Nurfatten Izzati Rablin, 26, hasil perkongsian mengajar taranum antara faktor menyumbang kemenangannya.

“Saya anggap ini rezeki dari Allah dan hasil usaha selama ini membuat latihan taranum selama dua jam setiap hari. Malah, saya berkongsi ilmu apabila menjadi pensyarah jemputan untuk mengajar taranum,” katanya yang berasal dari Tandek, Kota Marudu.

Pertandingan kali ini juga menyaksikan peserta cacat penglihatan dari Kampung Topokot, Tuaran, Muhammad Fiqri Muhammad Fahmi, 22, yang juga johan tahun lalu, mendapat tempat ketiga kali ini.

“Biasanya saya berlatih sendirian, mungkin selepas ini saya perlu mendapatkan guru untuk memperbaiki bacaan saya,” katanya.

Terdahulu, Musa dalam ucapannya berkata, usaha memahami, menghayati dan meneroka khazanah ilmu yang terkandung dalam al-Quran tidak harus terhad menerusi penganjuran majlis seperti itu sahaja.

“Sebaliknya ia harus digerakkan secara berterusan melalui penerapan budaya pembelajaran sepanjang hayat, sama ada secara formal atau tidak, khususnya dalam kalangan generasi muda Islam,” katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 10:09am
d