mutakhir

Untung berjuta tapi tiada lesen

Oleh Nor Azizah Mokhtar

PREMIS hiburan mewah di Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur dipercayai mengaut untung jutaan ringgit setahun walaupun beroperasi tanpa lesen sah sejak lebih lima tahun lalu.

Perkara itu terdedah selepas ia diserbu menerusi Operasi Bersepadu Banteras Aktiviti Haram Kuala Lumpur (Ops BAH) Siri 42, tengah malam tadi.

Pemeriksaan mendapati premis hiburan mewah terbabit mengenakan caj antara RM20,000 hingga RM50,000 semalam bergantung kepada jenis bilik kepada pelanggan yang kebanyakannya terdiri daripada ahli perniagaan.

Selain itu, premis terbabit turut menawarkan pelbagai hadiah kenderaan mewah antaranya Lamborghini Huracan dan Toyota Vellfire kepada pengunjungnya.

Soal siasat turut mendapati premis terbabit boleh mengaut untung antara RM150,000 hingga RM300,000 sehari hasil daripada perniagaan yang dijalankan.

Ketua Penyeleras Ops BAH Siri 42, Azman Mahmood berkata, serbuan ke atas premis hiburan terbabit dilakukan susulan aduan diterima pihaknya mengatakan ia beroperasi tanpa lesen.

"Menerusi serbuan ini, kita lakukan semakan dan mendapati memang benar ia tidak mempunyai lesen sah walaupun sudah beroperasi sejak lebih lima tahun lalu.

"Perkara ini amat mengejutkan kerana premis hiburan berkonsep mewah dan berupaya mengaut keuntungan jutaan ringgit ini masih berani beroperasi tanpa lesen pusat hiburan," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut turut mendapati premis hiburan terbabit turut menggaji warga asing sebagai pekerja dan wanita pelayan pelanggan (GRO).

"Semakan pihak kastam turut mendapati premis ini melakukan kesalahan di bawah seksyen 32(1) Akta Eksais 1976, iaitu tidak mempunyai lesen menjual arak kepada orang ramai.

"Susulan itu, 114 botol arak pelbagai jenama disita dalam operasi ini," katanya lagi.

Dalam pada itu, sebuah premis hiburan di Jalan Doraisamy pula diserbu awal pagi tadi susulan pemantauan mendapati ia kerap beroperasi melebihi masa dibenarkan iaitu 3 pagi.

"Premis ini sudah lima kali diserbu sebelum ini atas kesalahan sama dan mereka masih berani beroperasi melebihi masa, sehingga jam 6 pagi.

"Mereka lakukan ini setiap hari, bukan pada waktu hujung minggu sahaja... kita akan kaji semula lesen pusat hiburan yang diberikan kerana premis ini yang nampaknya 'tak makan saman',” tegas Azman.

Premis hiburan ketiga yang menawarkan hiburan tarian Bollywood kepada pelanggannya pula dikesan menggaji wanita warga asing sebagai penari di situ.

Pada operasi itu juga, ujian saringan air kencing oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan(AADK) ke atas 74 pekerja dan pegunjung mendapati 11 daripadanya positif dadah termasuk dua wanita.

Pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen pula mendapati 20 warga asing terdiri daripada lima lelaki dan 15 wanita melakukan pelbagai kesalahan imigresen antaranya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah dan menyalahgunapas lawatan.

Kesemua mereka ditahan untuk tindakan susulan.

"Pemeriksaan oleh pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) pula mendapati 29 terdiri daripada pengunjung beragama Islam, 18 lelaki dan 11 wanita yang diperiksa didapati positif minum arak.

"Susulan itu, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997," katanya.

Ops BAH Siri 42 yang bermula 11 malam sehingga 4 pagi tadi dijayakan 318 anggota daripada 27 agensi termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 11:49am
d