mutakhir

'Terima kasih tuan, SPAD'

Oleh Mohd Hasbi Sidek

KE hadapan tuan, pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada syarikat anda dan dua penguat kuasa di pejabat Pudu Sentral kerana berjaya memulangkan telefon bimbit saya memandangkan ia sangat penting bagi saya.”

Itu coretan pelancong Algeria, Bibet Rabia, 30-an, dalam ruangan aduan laman web rasmi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berikutan usaha penguat kuasa mencari telefon bimbit lelaki itu yang tertinggal dalam sebuah teksi, petang semalam.

Jurucakap SPAD berkata, ketika menjalankan tugas rutin di pejabat, anggota mereka dikenali sebagai Aiman dan Syaiful Sanusi didatangi seorang lelaki warga asing pada 9 pagi.

“Anggota menerima aduan daripada seorang pelancong warga Algeria bernama Bibet Rabia mengenai kehilangan telefon bimbit jenama Huawei berwarna emas yang tertinggal ketika pengadu menaiki teksi, Rabu lalu.

“Maklumat daripada pengadu mengatakan dia menaiki teksi dari KLCC menuju ke Jalan Alor. Pengadu turut mengemukakan satu salinan laporan dibuat di Balai Polis Dang Wangi sebagai bukti,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas laporan itu, pasukan aduan Pudu Sentral mendapatkan maklumat pemandu teksi seterusnya pergi ke rumah di Batu Caves, Selangor.

“Selepas dimaklumkan tujuan dan pengesahan dibuat, pemandu teksi mengatakan ada telefon bimbit tertinggal dalam kenderaannya.

“Pemandu teksi menyerahkan telefon bimbit yang tertinggal dalam teksinya selain Borang Akuan Serah Terima diserahkan kepada lelaki itu.

“Kami kemudian menghubungi pengadu 10 pagi (semalam) dan menyerahkan telefon bimbitnya di depan pusat beli-belah Sogo jam 10.15 pagi,” katanya.

Jurucakap itu berkata, pihaknya memuji sikap pemandu teksi berkenaan selain kecekapan dua anggota menjalankan tugas kerana ia memberikan imej baik kepada negara.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 7:05pm
d