mutakhir

Sempat ajar anak mengucap

Oleh Safuri Kamarudin

REMAJA maut manakala rakannya cedera apabila motosikal ditunggang mereka bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Baru Kupang-Gerik, Baling, petang ini.

Dalam kejadian 3 petang itu, Ismail Mohd Zakri, 17, dari Kampung Charok Kangar maut di tempat kejadian apabila terperosok di bawah Toyota Innova.

Manakala rakannya Mohd Taufik Md Tahir, 17, yang membonceng motosikal Yamaha Sport 100 itu cedera apabila melambung ke atas cermin hadapan kereta Toyota Vios.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shafiffuddin Yusuf berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal gagal memotong sebuah kenderaan lalu bertembung dengan Toyota Innova dari arah bertentangan.

"Akibat pertembungan itu, penunggang motosikal terperosok di bawah Toyota Innova dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya melambung sebelum jatuh ke atas cermin hadapan kereta Toyota Vios yang berada di belakang Toyota Innova.

“Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Baling sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani,” katanya.

Sementara itu, ayah Allahyarham Ismail, Mohd Zakri Shamsudin berkata, dia bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kemalangan tanpa mengetahui ia membabitkan anaknya.

"Ketika keluar ke kedai untuk membeli barangan dapur, saya dimaklumkan ada kemalangan lalu bergegas ke tempat kejadian.

"Saya terkejut apabila mendapati anak saya terbaring di bawah Toyota Innova itu. Saya sempat mengajarnya mengucap beberapa kali sebelum dia meninggal dunia," katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 10:31pm
d