mutakhir

Berita gembira

Oleh Fahmy Azril Rosli

Serdang: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kadar elaun Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) dinaikkan kepada RM2,000 daripada RM1,500 sejak program itu mula diperkenal pada 2011.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri di hadapan lebih 5,000 hadirin merangkumi wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan peserta SL1M ketika berucap merasmikan Perasmian Temuduga Terbuka SL1M Peringkat Zon Tengah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, semalam.

Najib berkata, beliau mengumumkan berita baik itu selepas Ketua Sekretariat SL1M Norashikin Ismail membuat satu permintaan istimewa kepadanya setiba di Dewan D MAEPS.

“Semasa tiba, saya dibisikkan oleh Norashikin untuk umumkan sesuatu sebagai hadiah kepada semua (peserta SL1M).

“Jadi, saya dengan ini mengumumkan kadar elaun SL1M akan dinaikkan daripada RM1,500 sebulan kepada RM2,000 sebulan,” katanya.

Berita kenaikan elaun itu disambut sorakan lebih 5,000 peserta SL1M yang hadir pada majlis berkenaan.

Hadir sama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Richard Riot dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Perdana Menteri berkata, sejak tahun 2009, 2.6 juta pekerjaan disediakan kerajaan hasil manifesto ditunjangi Barisan Nasional (BN).

Dalam temu duga SL1M kali ini, terdapat lebih 150 majikan yang menawarkan lebih 15,000 peluang pekerjaan.

Najib berkata, beliau dimaklumkan sehingga hari ini, lebih daripada 140,000 graduan sudah dilatih melalui program SL1M.

Difahamkan, kenaikan elaun seperti diumumkan Perdana Menteri akan berkuatkuasa pada tahun ini.

Difahamkan juga, kenaikan RM500 itu bakal memanfaatkan kira-kira 25,000 peserta SL1M yang baru.

Sementara itu, mengulas kenaikan elaun berkenaan, Abdul Rahman berkata, rakyat perlukan gaji yang ada maruah, bersesuaian dengan kos sara hidup ketika ini.

“Pengumuman ini bukti keprihatinan Perdana Menteri supaya ia dapat membantu memberi keselesaan kepada pelatih.

“Kenaikan elaun kepada RM2,000 juga petanda aras pelaksanaan gaji minimum. Bagi saya, gaji naik lagi bagus.

“Saya juga harap syarikat swasta ambil iktibar dan ambil panduan disediakan kerajaan. Tak boleh bagi gaji rendah, takut bila kerja tiada motivasi,” katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2018 @ 5:52am
d