mutakhir

Penuntut maut kemalangan motosikal

Oleh Azahar Hashim

PENUNTUT Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) maut selepas dilanggar kereta dalam kemalangan jam 6 petang semalam di Jalan Kulim Hi Tech 8, Kulim.

Dalam kejadian itu Mohamad Kamal Firdaus Rohaizad, 19, yang menunggang motosikal bersendirian maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Jalan Kulim Hi Tech 8 menuju ke Lebuhraya Perdana.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berasal dari Pulau Langkawi terbabas lalu melanggar pembahagi jalan sebelum tercampak ke laluan bertentangan.

“Pemandu Proton Perdana yang berada di laluan itu tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Nasir berkata, pemandu berusia 40 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jenazah mangsa dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 25, 2018 @ 2:17pm
d