mutakhir

Sindiket dadah 'teh Cina' tumpas [METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah apabila merampas dadah bernilai RM1.2 juta yang menggunakan bungkusan teh Cina sebagai taktik untuk mengaburi pihak berkuasa, kelmarin.

Modus operandi sindiket itu dikesan menerusi empat serbuan di Taman Mount Austin, Taman Johor Jaya dan Stulang Laut, Johor Bahru termasuk sebuah makmal mini antara 12 tengah hari hingga 3.30 petang.

Dalam serbuan itu, pihak polis menahan tujuh lelaki tempatan, lima lelaki warga Singapura serta masing-masing seorang wanita Thailand dan Singapura berusia antara 19 hingga 65 tahun.

Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor dengan kerjasama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman dan Pusat Biro Narkotik Singapura (CNB).

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, hasil serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.2 juta dan menyita lima kenderaan serta barangan lain.

"Kita berjaya menahan 14 ahli sindiket dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk 12.8 kilogram (kg) dadah disyaki syabu, 4,333 pil ekstasi, 200 pil eramin 5 dan 0.95 kg disyaki ketamin.

"Kita juga menyita lima kenderaan iaitu BMW, Toyota Altis, Kia Optima, Nissan X-trail dan Proton Wira selain merampas wang tunai RM5,800, SGD8,000, empat jam tangan serta pelbagai barang kemas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket itu aktif menjalankan kegiatan terbabit sejak awal tahun ini dipercayai untuk pasaran tempatan dan Singapura.

Katanya, ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek mendapati enam daripada mereka positif dadah amphetemin dan methamphetemin, manakala yang lain negatif dadah.

“Hasil semakan mendapati lima daripada 14 suspek itu mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan jenayah lain.

“Semua suspek direman tujuh hari sehingga 2 Mac ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2018 @ 4:30pm
d