mutakhir

Profesion mutawwif nilai tambah graduan universiti

Oleh Ihsan Noorzali

KURSUS Profesional Mutawwif dan Mutawwifah dapat membantu melahirkan lebih ramai golongan berkenaan untuk berkhidmat dengan lebih 5,000 agensi pelancongan di seluruh negara.

Kursus selama lima hari berakhir hari ini anjuran Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diadakan di Pusat Islam, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI di Tanjung Malim.

Seramai 66 mahasiswa yang baru selesai pengajian dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengikuti Program Sijil Profesional Mutawwif dan Mutawwifah Universiti Awam 2018 itu.

Panel Penasihat Khas PPIM, Dr Abdul Kadir Warsi Mohamed berkata, program seumpamanya itu mempunyai elemen faktor `WOW' sebagai intipati perlu dilaksanakan dalam melahirkan graduan yang memiliki sijil profesional selain ijazah.

"Saya bangga dengan kerjasama UPSI menerusi EDGE dan PPIM kerana selama ini UPSI terkenal sebagai institusi yang melahirkan pendidik yang menjadi pembimbing masyarakat sepanjang zaman.

"Program ini hebat kerana mempunyai nilai tambah kepada mahasiswa selain ijazah kerana apabila bergraduasi membolehkan mereka menjadi mutawwif bertaraf profesional," katanya.

Profesion mutawwif, katanya, memberi peluang membantu orang lain dan bukan hanya satu pekerjaan yang memperoleh pendapatan malah berpaksikan ibadat.

Beliau yang pernah menemui beberapa mutawwif di Makkah turut kagum dengan kesungguhan mereka yang berpeluang menambah pendapatan harian.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, program inisitaif EDGE itu adalah langkah yang baik melahirkan graduan yang memiliki nilai tambah.

"Pada zaman ini, mahasiswa tidak boleh mengharapkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu mempelbagai nilai tambah termasuk menjadi mutawwif secara profesional,' katanya berucap pada majlis perasmian penutup program itu di Bankuet Dewan Tuanku Canselor UPSI di sini.

Hadir sama, Selebriti Manhaj Mutawwif Sdn Bhd, Shuib Sepahtu, yang memberi suntikan motivasi kepada peserta kursus.

Setiap peserta menerima Sijil Profesional Mutawwif dan Mutawwifah daripada PPIM yang membolehkan mereka menjadi mutawwif secara profesional dan akan menjalani praktikal selama dua bulan di agensi yang akan ditentukan oleh PPIM.

Kebanyakan peserta yang ditemui berpuas hati dan mengharapkan program berkenaan diteruskan lagi dengan tempoh kursus yang lebih panjang.

Mereka berpendapat mutawwif adalah kerjaya yang dipandang Allah walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran terutama kerenah jemaah tetapi perlu bertanggungjawab melayan tetamu Allah di Tanah Suci.

Ketua Biro Pembangunan Sahsiah PPIM, Abdul Halim Ikhsan berkata, 10 peserta akan dipilih untuk menjalani praktikal bersama Manhaj Mutawwif Sdn Bhd dan selebihnya akan bersama beberapa agensi pengusaha pelancongan di seluruh negara yang memerlukan khidmat mereka.

"Setiap peserta berpeluang menjalani praktikal selama dua bulan dan mereka akan dibayar elaun sebanyak RM800 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi selain menjalani umrah," katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2018 @ 9:05pm
d