mutakhir

Dua rumah menanti pengunjung bertuah

Oleh Petah Wazzan Iskandar

BUKAN satu, tetapi dua rumah. Itu hadiah utama yang bakal menanti dua pengunjung bertuah dalam Ekspo Muafakat Kedah yang berlangsung di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar mulai semalam sehingga 3 Mac ini.

Dua unit rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bernilai lebih RM100,000 itu ditawarkan kerajaan negeri Kedah menjadi antara 100 hadiah keseluruhan bernilai lebih RM1 juta.

Timbalan Pengarah Bahagian Unit Perancang Ekonomi Negeri Kedah (UPEN) Muhamad Mahazi Ibrahim berkata, selain rumah, turut ditawarkan tiga kereta Haval, Perodua Bezza dan Perodua Myvi selain lima motosikal Modenas.

“Hadiah utama ini adalah hasil cetusan idea Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah yang mahu memberikan kelainan kepada ekspo terbesar yang pernah dianjurkan kerajaan negeri,” katanya.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka menyerahkan hadiah itu kepada pengunjung bertuah di majlis penutup pada 3 Mac ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Mahazi berkata, cabutan bertuah akan dilakukan dua kali sehari iaitu pada 1 tengah hari dan 6 petang yang menawarkan pelbagai hadiah berupa barangan elektronik termasuk gajet.

Katanya, setiap pengunjung layak menyertai cabutan bertuah jika mereka melawat semua 20 kluster di tapak ekspo berkenaan.

“Pengunjung perlu mendaftar terlebih dulu untuk mendapatkan buku pasport, kemudian melawat 20 kluster untuk mendapatkan cop di kluster.

“Sesiapa saja layak mendapatkan pasport itu walaupun rakyat negeri lain yang berkunjung ke sini (ekspo), dan selepas melengkapkan cop di kluster mereka layak menyertai hadiah cabutan bertuah,” katanya.

Katanya, ekspo itu bertujuan mengeratkan hubungan antara rakyat dengan kerajaan negeri menerusi acara dan program yang disusun.

Sementara itu, pasangan muda atau individu yang masih mencari kediaman idaman perlu mengunjungi ekspo berkenaan kerana terdapat 6,462 unit hartanah ditawarkan pada harga diskaun sehingga 20 peratus.

Sementara itu, pengunjung Syed Farhan Afis Syed Mustapha, 31, berkata dia teruja apabila ditawarkan rumah idaman pada potongan harga 30 peratus menerusi skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

Syed Farhan yang mendirikan rumah tangga dengan Tengku Intan Safura Tengku Mahmud, 35, sejak tiga tahun lalu, berkata mereka sedang mencari rumah idaman untuk masa depan keluarga.

Bagaimanapun, katanya, dia mengakui berdepan cabaran untuk mendapatkan rumah idaman pada harga yang sesuai dengan bajetnya.

“Jadi apabila adanya ekspo ini, saya bersama isteri tidak melepaskan peluang bagi melihat tawaran perumahan yang disediakan kepada orang ramai khususnya penjawat awam.

“Alhamdulillah, saya menemui rumah idaman berharga RM385,000 di Kubang Rotan (Alor Setar) dengan tawaran diskaun 30 peratus berbanding harga pasaran,” katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2018 @ 10:02pm
d