mutakhir

Biasanya cat merah, kali ini hitam

Oleh Farah Suhaidah Othman

SEPULUH kenderaan termasuk dua treler yang diletakkan di luar kediaman di Laluan Tawas Sinaran 1, Anjung Tawas Sinaran Ipoh, di Ipoh disembur cat hitam oleh sekumpulan individu tidak dikenali, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, salah seorang mangsa berusia 45 tahun menyedari pintu sebelah kereta jenis Perodua Myvi miliknya disembur cat berwarna hitam sebelum membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Kampung Tawas.

Antara kenderaan yang disembur cat termasuk dua Myvi, Honda Accord, Nissan Sentra dan Mazda CX-5 serta dua treler.

Dhana Subramaniam, 41, berkata, dia menyedari pintu sebelah kiri kereta Myvi miliknya disembur cat ketika mahu keluar rumah pada jam 8.30 pagi dan beberapa kereta jirannya mengalami nasib yang sama.

"Saya terus menghubungi jiran iaitu Harvinder Kaur dan memintanya memeriksa sama ada kenderaannya mengalami nasib sama," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, Havinder, 45, berkata, pintu tempat duduk pemandu dan tempat duduk penumpang belakang Mazda CX-5 miliknya disembur cat sama.

“Selepas kejadian itu, saya menyedari banyak lagi kenderaan disembur cat dan kebanyakannya diletakkan di luar rumah.

"Kejadian ini pertama kali berlaku di kawasan kejiranan ini dan kalau ada orang khianat dengan keluarga saya, semestinya kereta saya sahaja yang menjadi mangsa sebaliknya saya difahamkan 10 kenderaan lain terbabit," katanya.

Harvinder yang sudah 18 tahun mendiami di kawasan itu berkata, tidak mengesyaki atau menuduh sesiapa namun sebelum perayaan Tahun Baharu Cina, ada individu mengedarkan risalah mengenai perkhidmatan keselamatan dari rumah ke rumah namun kebanyakan penduduk tidak bersetuju dengan perkhidmatan itu.

"Kami tidak menuduh sebaliknya ada kemungkinan kejadian itu berkait dengan perkhidmatan yang dicadangkan," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby ketika dihubungi berkata, polis menerima maklumat sebanyak 10 kenderaan disembur cat bagaimanapun hanya empat laporan polis diterima.

"Kenderaan pengadu yang membuat laporan polis dibawa ke Balai Polis Sungai Tawas untuk siasatan lanjut.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya

Disiarkan pada: February 25, 2018 @ 10:42pm
d