mutakhir

Wartawan wanita cedera disamun

Oleh Hadzlihady Hassan

WARTAWAN akhbar berbahasa Cina cedera di mata dan tangan selepas bergelut dengan penjenayah dalam kejadian samun di Taman Impian Indah, Machang Bubok, Bukit Mertajam, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa yang berusia 35 tahun lebam pada mata kanan akibat ditumbuk dan luka tangan kiri kerana terkena serpihan kaca.

Mangsa memandu kereta seorang diri pada mulanya dihampiri dua lelaki bermotosikal yang kemudian berhenti di bahagian kiri kenderaannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pembonceng motosikal terbabit terus meluru dan memecahkan cermin kereta bahagian penumpang dengan besi yang diubahsuai menggunakan palam pencucuh.

“Suspek kemudian merampas beg tangan mangsa, namun wanita itu cuba menghalang sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

“Bagaimanapun, suspek kemudian menumbuk muka mangsa sebelum melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, mangsa mengalami kerugian wang tunai RM3,000 serta dua telefon bimbit selepas beg tangannya dilarikan suspek.

Disiarkan pada: February 26, 2018 @ 3:26pm
d