mutakhir

'Orang tamak memang selalu rugi'

Oleh Junaidi Ladjana

AKIBAT tidak berpuas hati dengan hasil yang diperoleh daripada pemandu bas mini, seorang lelaki cuba pula menyamun telefon bimbit penumpang bas di tepi jalan Kampung Simpangan, Tenom, semalam.

Bagaimanapun, sikap tamak suspek memakan diri apabila ditinggalkan di tepi jalan selepas pemandu bas, 56, memecut kenderaan itu walaupun lelaki itu mahu naik semula dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Tenom Deputi Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, ketika kejadian pada 11.15 pagi, bas berkenaan dalam perjalanan ke pekan Tenom, tetapi berhenti untuk mengambil penumpang lelaki di Kampung Pulong Atas.

“Suspek duduk di bahagian penumpang hadapan dan meminta diturunkan di tepi jalan Kampung Simpangan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek mengacukan sebilah pisau ke muka pemandu bas dan meminta wang,” Katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Firdaus berkata, bimbang dicederakan, mangsa memberikan wang sebanyak RM20 kepada suspek.

“Suspek yang tidak berpuas hati lalu meminta telefon bimbit seorang penumpang bas yang juga anak saudara mangsa yang duduk di bahagian belakang bas berkenaan.

“Lelaki itu kemudian turun dari bas untuk masuk semula ke bahagian belakang, namun mangsa terus memecut kenderaannya ke Balai Polis Tenom bagi membuat laporan kejadian,” katanya.

Katanya, pihak polis sedang memburu suspek, 20-an, untuk siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

Disiarkan pada: February 26, 2018 @ 5:10pm
d