mutakhir

Curi ikan awal pagi

Oleh T N Alagesh

SERAMAI 25 penternak ikan sangkar di Kampung Lebak Seberang, Temerloh, berdepan kebimbangan apabila ternakan mereka dicuri sehingga menyebabkan kerugian mencecah puluhan ribu ringgit.

Mereka mendakwa wujud satu sindiket sejak sebulan lalu yang mengharungi Sungai Pahang pada setiap awal pagi dan seterusnya membawa lari ikan patin diternak selain turut merosakkan sangkar.

Keadaan itu dibimbangi akan menjejaskan sumber pendapatan bulanan mereka yang ketika ini sedang berdepan masalah penurunan paras air sungai berikutan musim panas selain air keruh yang boleh menjejaskan pertumbuhan ikan.

Nelayan sangkar dari Kampung Lebak Seberang, Mohd Rizal Ahmad, 43, berkata, lebih 100 ikan patin dalam satu daripada 16 sangkar miliknya dicuri dalam kejadian ketika cuti Tahun Baru Cina, baru-baru ini.

"Pencuri berkenaan mengangkat wayar pagar dan memotong jaring sebelum mengumpan ikan untuk ke satu sudut menggunakan dedak sebelum menebar jaring atau sauk bagi menangkap ikan dan memindahkannya ke bot.

“Sepatutnya ada pembeli mahu datang pada 17 Februari lalu, tetapi ikan sudah dicuri pada malam sebelumnya...usaha saya selama lapan bulan menternak ikan menjadi sia-sia, saya tidak mempunyai pekerja jadi mudah untuk pencuri membawa lari ikan tanpa dikesan," katanya.

Rizal yang sudah tiga tahun terbabit dalam industri berkenaan berkata, beliau akan memasang lampu limpah di sekitar sangkar dalam masa terdekat dan mengupah pekerja untuk memantaunya pada waktu malam bagi memastikan tiada lagi kes kecurian ikan patin yang dijual dengan harga RM13 sekilogram.

Menurutnya, ia adalah kali pertama dia mengalami masalah berkenaan dan ramai penternak turut mengadu mengenai kecurian itu yang mungkin berlaku disebabkan permintaan tinggi daripada pengusaha restoran serta pasar malam.

Sementara itu, penternak, Zahari Zaidi, 43, berkata dia percaya kejadian kecurian ikan patin itu didalangi individu yang biasa dengan keadaan persekitaran dan mempunyai tonto untuk melihat pergerakan pengusaha sebelum memberitahu rakan mereka untuk bertindak.

"Kami biasanya tinggal di rumah terapung dibina di sangkar ikan sehingga jam 2 atau 3 pagi sebelum balik dan agak mengejutkan kerana mereka datang mencuri selepas kami balik.

“Susah hendak menyalahkan sesiapa kerana sungai ini agak besar dan ada pemancing datang pada waktu malam.

"Sebelum ini, kejadian ikan hilang adalah kes terpencil, tetapi sejak Jun tahun lalu ramai penternak mengadu dan ia menjadi lebih kerap sejak Disember, setiap dua atau tiga hari pasti ada mangsa mengadu sangkar mereka rosak serta ikan hilang," kata bapa kepada tujuh anak itu.

Zahari yang sudah sembilan tahun menjadi penternak ikan sangkar berkata, ramai pengusaha memilih untuk tidak membuat laporan polis kerana tidak mempunyai bukti kukuh walaupun sangkar rosak dan sukar mengesan suspek.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Perikanan Daerah Temerloh berkata, pihaknya tidak menerima aduan rasmi daripada penternak mengenai kejadian itu dan menasihatkan mereka supaya membuat laporan polis.

Disiarkan pada: February 26, 2018 @ 7:57pm
d