mutakhir

Hotlink lebih fleksibel

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

MAXIS Berhad melancarkan Hotlink Postpaid Flex pertama di Malaysia bagi memudahkan pelanggan memiliki pelan pascabayar pada harga serendah RM30 sebulan.

Bermula dari RM30 sebulan dengan panggilan dan SMS tanpa had ke semua rangkaian serta percuma 1GB data, Hotlink Postpaid Flex dijangka menjadi pilihan pengguna prabayar.

Ketua Prabayar Maxis, Navin Manian berkata, tiada kontrak dan caj tersembunyi bagi Hotlink Postpaid Flex dan lebih menarik ia memberi lebih banyak pilihan dan fleksibiliti kepada pelanggan.

Katanya, dengan Hotlink Postpaid Flex pelanggan juga boleh mencipta sendiri pelan internet mereka menerusi pakej yang disediakan.

"Terdapat trend dalam kalangan pengguna prabayar yang beralih kepada pascabayar dan kami menjangkakan ia akan berterusan terutama dengan pengenalan pelan pascabayar yang lebih komprehensif.

"Kami berharap Hotlink Postpaid Flex ini menjadi pilihan pengguna bukan saja pelanggan prabayar Hotlink, malah terbuka untuk orang ramai yang sedang mencari pelan pascabayar bersesuaian dengan keperluan masing-masing," katanya kepada media selepas pelancaran Hotlink Postpaid Flex di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Kerjasama dan Jenamanya, Tai Kam Leong.

Pelanggan boleh mendaftar untuk Hotlink Postpaid Flex di peniaga Hotlink terpilih, serta semua kedai Maxis dan Rakan Eksklusif Maxis di seluruh negara bermula hari ini.

Disiarkan pada: February 26, 2018 @ 8:18pm
d